Umno tidak dapat diselamatkan lagi, kata anak bekas MB
Iklan
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), The Malaysian Insight mendekati muka baru politik yang dilatih parti mereka untuk menjadi calon. Salah satu keluhan dalam kalangan pengundi adalah kekurangan pemimpin muda politik yang berwibawa baik di parti pemerintah mahupun pembangkang, malah ketua utama parti politik kini adalah mereka yang sudah bergelumang dalam politik sejak 1980-an lagi. Di manakah orang muda yang akan meneruskan perjuangan politik Malaysia? The Malaysian Insight berbicara dengan Akhramsyah Sanusi yang meninggalkan Umno kerana berasa parti itu tidak dapat diselamatkan lagi.
POLITIK wang adalah punca mengapa Akhramsyah Sanusi mengambil keputusan meninggalkan Umno, sebuah parti yang dikatakannya tidak mampu diselamatkan lagi.
Akhramsyah, anak bekas menteri besar Kedah, Sanusi Junid, berkata mereka yang meninggalkan parti berasaskan Bumiputera terbesar di negara ini berasa sudah mencuba segala-galanya untuk memperbaikinya.
“Umno adalah parti yang tidak boleh diperbaiki. Gelombang penentangan yang kami harapkan tidak pernah berlaku,” kata ahli Bersatu itu kepada The Malaysian Insight.
Akhramsyah pertama kali terdedah kepada politik wang ketika memasuki pemilihan Umno pada 2008, untuk bertanding jawatan exco Pemuda.
“Ia tidak berjaya kerana saya enggan terlibat dalam politik wang. Pada hari terakhir pemilihan, saya diberitahu saya berada di ambang kemenangan.
“Malam sebelum pembuangan undi, saya dinasihatkan supaya menghabiskan malam itu dengan ‘mengepam’. Saya naif, dan saya berasal dari keluarga yang tidak terlibat dalam politik wang, jadi saya tidak faham apa maksud ‘mengepam’. Maksudnya ialah, membeli undi.
“Secara dasarnya anda perlu mengeluarkan duit untuk mendapatkan undi. Itu gila.”
Semasa pemilihan parti 2013, Akhramsyah sekali lagi cuba bertanding, kali ini, mencabar Khairy Jamaluddin untuk jawatan ketua Pemuda.
“Saya tidak pernah aktif di Umno sehingga berasa terpaksa memberikan khidmat saya. Saya bertanding untuk jawatan exco Belia pada 2008 untuk membantu Mukhriz Mahathir, yang saya fikir adalah calon yang tepat, memenangi jawatan itu.
“Saya kemudian bertanding jawatan ketua Pemuda bukan kerana saya fikir saya boleh menang, tetapi kerana saya fikir kita perlu memberikan Khairy tentangan, walaupun beliau adalah pemenang yang tidak mampu dicabar.”
Bapa enam anak ini berkata pilihan raya 2013 membuktikan walaupun berlaku perubahan struktur, rasuah sudah mencapai tahap akar umbi.
“Saya tidak mengatakan ahli akar umbi rasuah. Tetapi, para pemimpin di peringkat cawangan mendapati mereka tertekan untuk menggerakkan cawangan mereka dengan bantuan yang sedikit daripada peringkat bahagian dan nasional.
“Parti menjadi korup kerana pemimpin cawangan tidak mendapat sokongan struktur daripada parti untuk melakukan apa yang perlu semasa pilihan raya. Itulah sebabnya mereka mengugut pemimpin.
“Itu saja masanya wang datang daripada parti atau individu. Ia hanya datang dengan ikrar untuk mengundi, jadi parti menjadi korup,” kata beliau yang berusia 45 tahun.
Sertai politik untuk memberi khidmat
Menyertai politik adalah satu seruan baik bagi Akhramsyah, memandangkan penglibatan keluarganya.
Moyang dan datuknya di sebelah ibunya adalah ahli politik di Aceh, Indonesia, sementara ayahnya pernah berkhidmat sebagai menteri besar dari 1996 hingga 1999 dan sebagai menteri sebelum itu.
Akhramsyah adalah ketua cawangan Pemuda Umno Bendang Baru di Langkawi sebelum menyertai Bersatu.
“Kami menyertai politik untuk berkhidmat. Dua tahun lalu, saya meninggalkan Shell untuk mengambil PhD dalam bidang pembangunan mampan dan melihat diri saya sebagai pakar pembangunan mampan di Malaysia, baik dalam bidang akademik dan perniagaan. Rancangan hidup saya pernah berubah beberapa kali.
“Tetapi saya tidak pernah bermimpi menjadi perdana menteri atau menteri. Keluarga saya tidak pernah dibesarkan seperti itu. Kami dibesarkan untuk berkhidmat,” kata ketua Bahagian Jerai Bersatu.
Akhramsyah, yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam industri minyak dan gas, dan pemegang ijazah sarjana dalam kejuruteraan kimia daripada Kolej Imperial London, berkata beliau berjanji kepada kepimpinan parti yang jentera pilihan raya di Jerai akan bersedia pada Mac.
“Jentera ini berkembang secara organik. Apa pun yang kita ada sekarang, saya fikir, agak kukuh, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.
“Saya perlu menyediakan bahagian saya untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Sama ada saya menjadi calon atau tidak terpulang kepada parti.
“Jika parti menamakan saya, saya tidak fikir saya mempunyai pilihan, kerana sebenarnya, kita adalah parti muda, dan jika parti itu berasa saya pilihan terbaik, saya akan terima.
“Tetapi sekiranya, kami mempunyai calon lebih baik, lebih berpotensi untuk menang bagi Jerai, saya sanggup memberi peluang.”
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom adalah ahli Parlimen Jerai, setelah mengalahkan calon PAS Mohd Mohd Firdaus Jaafar dengan 1,196 undi.
Penduduknya terdiri daripada 79% Melayu, Cina (15%) dan India (6%).
Tiga kerusi DUN di Jerai adalah Sungai Limau, Guar Chempedak dan Gurun.
PAS mengekalkan Sungai Limau pada pilihan raya kecil November 2013 selepas kerusi itu kosong susulan kematian Adun lima penggal Azizan Abdul Razak.
Ku Abd Rahman Ku Ismail daripada Barisan Nasional adalah wakil rakyat untuk Guar Chempedak, manakala Leong Yong Kong daripada MCA bagi Gurun.
“Kami berdepan pertempuran di Jerai kerana tiga kerusi negeri adalah kubu PAS, Umno dan MCA, dan kita akan menentang seorang menteri, Jamil Khir,” kata bekas pegawai kanan Shell Malaysia itu.
Beliau mahu memberi tumpuan kepada beberapa isu di Jerai, seperti kebajikan petani dan hal-hal berkaitan pertanian.
“Di peringkat kebangsaan, terdapat banyak isu berkaitan bagaimana ekonomi diuruskan, dan saya sangat prihatin mengenai isu subsidi bahan bakar. Ketika bersama Shell, saya adalah seorang daripada daripada yang dirujuk oleh Kementerian Kewangan apabila ia melibatkan harga bahan api.
“Saya tahu bagaimana mekanisme itu sepatutnya berfungsi.”
Akhramsyah berkata cita-cita politiknya adalah untuk memperbaiki keadaan negara, dan menjadi matlamatnya memberi semula harapan kepada rakyat Malaysia. – 5 Januari, 2018.