Kompaun RM10,000 kekal, kata Ismail Sabri
Iklan
INDIVIDU yang dikenakan kompaun RM10,000 bagi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 boleh membuat rayuan pengurangan kerana itu adalah jumlah denda maksimum, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Kerajaan juga tidak bercadang untuk memansuhkan kompaun kerana ia mendapat sokongan Kementerian Kesihatan (KKM), tambahnya.
“Jumlah RM10,000 yang tertera dalam notis kompaun itu adalah jumlah maksimum dan bukan satu jumlah wajib perlu dibayar oleh individu yang melakukan kesalahan, sebaliknya jumlah itu berdasarkan kesalahan dibuat dan pertimbangan pegawai kesihatan daerah (PKD),”
“Misalnya, jika seseorang didenda RM10,000 kerana tidak memakai pelitup muka, maka boleh merayu untuk kurangkan jumlah denda,” katanya pada sidang media hari ini.
Rayuan boleh dibuat di pejabat kesihatan daerah kerana kompaun adalah di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), iaitu bawah bidang kuasa KKM, kata Ismail Sabri. – 16 Mac, 2021.