PKPD dilanjutkan lagi seminggu di kawasan perumahan Bintulu, kata menteri
Iklan
PERINTAH kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu, Sarawak dilanjutkan hingga 25 Mac, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
PKPD dua minggu sepatutnya berakhir esok namun kini telah dilanjutkan seminggu setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di kedua-dua kawasan tersebut, katanya.
“KKM melakukan 1,407 ujian saringan dan dari jumlah itu, 85 kes positif Covid-19 dicatatkan.
“PKPD seharusnya berakhir esok tetapi setelah mendapat nasihat dari KKM, ia telah dilanjutkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut berkata 125 orang ditangkap kerana melanggar PKP semalam, dan dari jumlah ini, 111 orang dikenakan kompaun dan 14 ditahan.
Kesalahan itu melibatkan lintas daerah/ negeri tanpa kebenaran (43), tidak memakai pelitup muka (29), gagal menyediakan peralatan rekod diri/ pelanggan (28), jarak sosial (11), tidak asingkan diri (5) dan lain-lain.
Mengenai pekerja asing yang telah disaring hingga kini, Ismail Sabri berkata 3,567 telah disaring semalam, menjadikan jumlah 627,010 yang disaring di bawah usaha kerajaan untuk menyaring semua pekerja migran.
Inisiatif ini setakat ini melibatkan 32,435 majikan dan 1,529 klinik. – 17 Mac, 2021.