Setiawangsa pilihan utama PRU15, tapi bukan ‘kerusi selamat’, kata Nik Nazmi
Iklan
KERUSI Parlimen Setiawangsa bukan lagi kerusi yang selamat kerana banyak pihak mahu bertanding di situ dalam pilihan raya umum akan datang, kata ahli Parlimennya, Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR.
“Kerusi Parlimen Setiawangsa kubu kuat BN sebelum saya menang di sana pada pilihan raya 2018.
“Jadi, dengan itu, saya tahu Setiawangsa bukanlah tempat yang selamat bagi sesiapa pun,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam temu bual hari ini.
Parlimen Setiawangsa dibentuk pada 2004 setelah Wangsa Maju dipecah menjadi dua, dan telah menjadi kerusi Barisan Nasional hingga pilihan raya umum ke-14.
Pada pilihan raya 2018, Nik Nazmi dengan jayanya memenangi kerusi Setiawangsa setelah bertanding tiga penjuru menentang Zulhasnan Rafique dari BN dan Ubaid Abd Akla dari PAS.
Setiausaha Pengelola PKR itu berkata kawasan Setiawangsa adalah kawasan yang sangat pelbagai dengan penduduk miskin, sederhana dan kelas atas.
Tambahnya di situ juga ada kem tentera dan pusat latihan polis (Pulapol) yang menjadikannya kerusi yang mencabar.
Nik Nazmi berkata beliau tidak akan berdiam diri setelah mendakwa Umno dan Bersatu telah turun padang di situ.
“Ada kem tentera dan pusat latihan polis juga, di mana akan ada pengundian awal.
“Juga, kita ada Melayu, India dan Cina miskin di situ, selain juga kelas menengah dan atas di kawasan Bukit Setiawangsa.
“Saya lihat Umno dan Bersatu sudah turun padang tetapi saya tak akan ambil mudah.
“Untuk pilihan raya lepas, saya disahkan sebagai calon sebulan sebelum tetapi saya mulakan tugas di kawasan itu tiga tahun sebelum itu lagi.
“Jadi, jika kita bekerja keras dan mempertahankan apa yang telah kita lakukan setakat ini, insya-Allah ia akan kekal sebagai kerusi PKR dalam pilihan raya akan datang,” kata Nik Nazmi.
Nik Nazmi berkata pihaknya baru-baru ini telah mengedarkan borang kepada bakal calon dan calon yang sedia ada untuk mengemukakan kawasan pilhan raya mereka yang mereka mahu tandingi dalam pilihan raya akan datang.
“Saya tak tuntut. Saya lebih kepada orang parti.
“Jadi, saya akan bertanding di kerusi yang diminta oleh parti, tetapi saya nyatakan minat saya untuk bertanding di Setiawangsa.
“Jadi, saya hanya hantar satu borang, iaitu untuk kerusi Setiawangsa,” katanya.
Nik Nazmi menambah beliau tidak ada cita-cita untuk bertanding kerusi dewan undangan pada pilihan raya akan datang.
Sebelum bertanding di kerusi Setiawangsa pada 2018, Nik Nazmi adalah wakil rakyat selama dua penggal untuk Seri Setia di Selangor. – 17 Mac, 2021.