Perbicaraan kes hasut Zakir Naik tangguh ke bulan depan
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan keputusan kes sivil Putrajaya dan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ke 13 Februari depan.
Ia berkenaan perintah deklarasi Zakir yang dikatakan mengancam keselamatan persekutuan dan ketenteraman awam.
Keduanya merupakan deklarasi untuk membatalkan pemberian status Zakir sebagai penduduk tetap di Malaysia secara serta-merta.
“Hujah telah didengar (sebentar tadi hari ini). Penjelasan dan keputusan akan didengar pada tarikh itu nanti,” kata peguam plaintif S. Karthigesan.
Keputusan itu dibuat oleh hakim Azizah Nawawi hari ini di dalam kamar hakim.
Sebelum ini, Zakir didakwa menghasut melakukan keganasan menerusi dakwahnya sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati ramai pihak di negara ini terutamanya bukan Islam.
Bagaimanapun, antara pihak yang menyokongnya merupakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang lantang bersuara mempertahankan Zakir.
Presidennya Ibrahim Ali dan beberapa ahlinya turut hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Peguam Perkasa Adnan Seman berkata pihaknya telah memberikan hujah-hujahnya kepada mahkamah tinggi dan pihak kerajaan turut memberikan hujah yang sama, di mana Zakir seharusnya dijadikan pihak dalam prosiding tersebut.
Katanya, permohonan plaintiff-plaintif dalam perkara ini seharusnya ditolak dan dibatalkan.
“Kami membangkitkan hujah bahawa Dr Zakir Naik seharusnya dijadikan pihak dalam prosiding untuk menjawab segala afidavit sokongan yang difailkan,” katanya.
Pada September lalu dilaporkan bahawa perbicaraan tersebut ditangguhkan ke 21 September selepas Putrajaya pada saat akhir memfailkan permohonan untuk membatalkan saman terhadap Zakir.
India, negara asal Zakir sebelum ini mengisytiharkan Islamic Research Foundation (IRF) yang diasaskan oleh pendakwah kontroversi itu sebagai tidak sah pada November.
Pihak India juga telah memfailkan senarai tuduhan terhadap Zakir.
Bagaimanapun pada 16 Disember lalu, Interpol dilaporkan membatalkan pengeluaran Notis Merah terhadap Zakir dan mengarahkan semua pihak menghapuskan dakwaan palsu terhadap beliau.
Notis Merah adalah permintaan bagi mana-mana negara untuk menjejak dan menangkap mana-mana individu untuk diekstradisi.
Ia dikeluarkan oleh Interpol berdasarkan permintaan sesebuah negara atau tribunal antarabangsa.
Bagaimanapun, ia bukan waran tangkap antarabangsa dan penggunaan Notis Merah hanya membawa maksud seseorang itu disyaki terlibat dengan jenayah dan tidak dihukum serta dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan. – 3 Januari, 2018.