Iklan

Tak adil untuk orang muda jika kerajaan mungkir janji Undi18, kata pemimpin belia

Khoo Gek San4 years ago19th Mar 2021Berita
Undi18
Kira-kira 3.9 juta orang layak mengundi di bawah undang-undang yang dilulus dan diwartakan pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2021.
Iklan

ADALAH satu ketidakadilan sekiranya belia berusia 18 tahun tidak dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas undang-undang yang membenarkannya sudah diluluskan, kata pemimpin belia. 

Ini bermakna sebahagian besar penduduk tidak dapat memilih pemimpin mereka atau menentukan hala tuju negara, walaupun golongan belia sudah memiliki kesedaran dari segi politik sejak kebelakangan ini, tambah mereka. 

Kira-kira 12% penduduk, atau 3.9 juta orang layak mengundi di bawah undang-undang yang dilulus dan diwartakan pada 2019 di bawah kerajaan Pakatan Harapan, namun kerajaan kini enggan melaksanakan pengurangan had umur mengundi yang akan menafikan hak golongan muda ini untuk memilih, kata pengasas bersama Undi18 Nur Qyira Yusri. 

“Dengan membenarkan akses untuk mengundi lebih luas, kita memperkasakan demokrasi dengan memastikan warganegara tidak dipinggirkan dan suara mereka didengar.”

Membenarkan golongan belia mengundi pada usia 18 tahun daripada 21 tahun, akan menggalakkan mereka memberi perhatian kepada isu negara dan untuk menjaga negara di usia muda, tambahnya. 

“Memupuk komitmen dan kesedaran memberi kelebihan untuk melahirkan generasi pengundi muda yang mempunyai kesedaran dari segi sosial. 

“Pindaan itu mendorong para belia untuk berubah, menjadi lebih terbuka serta menjadikan hala tuju negara sebagai lebih relevan kepada pelajar universiti,” tambah Nur Qyira. 

Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun diluluskan di Dewan Negara pada Julai 2019 dan diwartakan dua bulan kemudian. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini berkata undang-undang itu adalah bersama pendaftaran pengundi automatik yang akan dilaksanakan pada Julai tahun ini.

Namun Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim baru-baru ini berkata tidak praktikal untuk menurunkan kadar umur mengundi kepada 18 tahun pada masa ini kerana ia akan mengambil terlalu banyak masa dan sumber.

Kenyataan Rais itu bagaimanapun menerima kritikan daripada masyarakat dan kumpulan sivil yang menggesa SPR menyatakan dengan jelas apa halangan yang dihadapi. 

Sekiranya undang-undang itu dilaksanakan, kira-kira 7.8 juta pengundi baharu akan tersenarai dalam daftar pemilih menjelang 2023, apabila penggal Parlimen tamat dan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan. 

Bagaimanapun timbul spekulasi yang pilihan raya akan diadakan lebih awal susulan petikaian politik antara Umno dan Bersatu yang mana kedua-duanya dalam kerajaan PN. 

PN menjatuhkan kerajaan PH pada Februari tahun lalu, episod yang Nur Qyira percaya telah menyebabkan lebih ramai golongan muda mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyasarkan kepada menambah baik masyarakat yang mereka rasakan telah dipinggirkan oleh ahli politik. 

“Orang muda menganjurkan dan melibatkan diri. Mereka menghadiri webinar, dan menyertai gerakan kebajikan ketika generasi lebih tua sibuk berpolitik dan membincangkan siapa yang akan menjadi perdana menteri seterusnya. 

“Orang muda adalah kumpulan yang paling celik politik di Malaysia, mereka lebih cenderung untuk bincangkan hal dasar.”

Ketua Pemuda DAP Howard Lee merasakan selepas PN menjatuhkan PH, ramai golongan muda kecewa dan tidak peduli dengan politik. 

Namun katanya, ketika rakyat menyaksikan kesan selepas perubahan dan juga “dasar yang tidak adil”, mereka mula menghargai peluang untuk mengundi. 

“Ramai yang mengatakan orang muda masih belum sedia untuk sertai politik dan mengundi. Ini adalah mitos.”

Tambah Lee, berdasarkan pemerhatian di media sosial, orang muda lebih lantang menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan sekarang. – 19 Mac, 2021.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan