Iklan

Usahawan wanita B40 alami tekanan akibat PKP2.0, dedah tinjauan

Aminah Farid4 years ago22nd Mar 2021Berita
Raya shopping025
Ramai usahawan wanita B40 di Lembah Klang terjejas akibat pelaksanaan PKP2.0 awal tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2021.
Iklan

GOLONGAN usahawan wanita B40 terkesan secara kewangan dan mental akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula pada 13 Januari lalu, lapor satu tinjauan yang dijalankan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Tinjauan pertubuhan Women of Will (WoW) itu melibatkan 326 responden daripada 14 penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang.

WoW merupakan pertubuhan yang membantu wanita kurang berkemampuan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ketua Pegawai Kewangan WoW Lakshwin Muruga memberitahu The Malaysian Insight bahawa daripada 326 responden, 50% menerima pendapatan RM500 sebulan dengan 87% daripadanya mengalami penurunan pendapatan ekoran penutupan perniagaan akibat PKP2.0.

Kira-kira 72% responden mengakui mereka merasa tertekan kerana terpaksa menutup perniagaan sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, 73% responden berkata mereka hanya mempunyai wang simpanan kurang RM1,000 yang mampun bertahan selama 20 hari sebelum mendapatkan bantuan luar.

PKP2.0 yang bermula pada 13 Januari dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (KL, Labuan dan Putrajaya), Melaka, Johor dan Sabah selepas peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun awal bulan ini, Kementerian Pertahanan mengumumkan Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor akan diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) susulan penurunan kes di tiga kawasan terbabit.

PKPB yang sepatutnya berakhir pada 18 Mac dilanjutkan sehingga 31 Mac. Negeri yang dikenakan PKPB adalah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

Walaupun pelaksanaan PKP2.0 tidak lama, tetapi kesannya amat dirasai oleh golongan usahawan B40 ini.

Laskhwin berkata 89% respondan bimbang jika dijangkiti virus tersebut.

“52% responden berkata mereka tertekan bila memikirkan tentang pendidikan anak mereka yang tidak mendapat liputan internet yang baik dan proses pembelajaran secara talian terjejas,” katanya.

“Lagi 46% respoden berkata mereka kurang barang keperluan asas semasa tempoh PKP dan kehabisan bekalan makanan semasa tempoh kuarantin,” katanya.

Bagi menangani isu ini, WoW menjalankan bengkel sokongan psikologi bagi membantu menjaga tahap kesejahteraan peserta dan menekankan kepentingan menjaga diri dan mengendalikan tekanan perasaan.

Lakshwin berkata 81% responden meminta agar kemahiran asas mereka ditambah menerusi kursus memasak, menjahit dan membuat kek jika diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran.

Sebanyak 62% responden mahu mendalami ilmu pemasaran dan promosi termasuk perniagaan dalam talian dan pengurusan media sosial.

Sementara itu, 52% responden juga meminta pelaksanaan kursus dalam perakaunan dan pelan simpanan wang.

Antara sokongan yang yang diperlukan termasuk barangan makanan keperluan asas, kewangan, modal perniagaan serta sokongan dan nasihat perniagaan. – 22 Mac, 2021.

Iklan
Iklan