Iklan

18 minit berdiam diri untuk Undi18

Elill Easwaran4 years ago27th Mar 2021Berita
Undi18 march 27, 2021 afif 03
Sekumpulan anak muda mengadakan bantahan di luar Parlimen kerana Parlimen adalah suara rakyat, bukannya pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2021. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 27 Mac, 2021.
Iklan

KIRA-KIRA 300 belia berkumpul di luar Parlimen hari ini dan mengadakan sesi 18 minit berdiam diri sebagai simbolik membantah keputusan kerajaan menangguhkan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi sehingga 1 September tahun depan.

Ketua penunjuk perasaan Amri Abdul Hadi berkata amat menyedihkan mereka terpaksa melakukan bantahan walaupun rang undang-undang itu telah diluluskan di Parlimen.

“18 minit berdiam sebagai simbolik untuk Undi18,” kata Amri yang merupakan setiausaha Muda.

“Sebab kita mengadakan bantahan di luar Parlimen kerana Parlimen adalah suara negara kita, bukannya pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya.”

Amri berkata semua belia mahu kerajaan membenarkan remaja berusia 18 tahun mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

“Undi18 telah diluluskan Parlimen pada 2019 dan mereka berjanji akan melaksanakannya pada Julai tahun ini tetapi kini tertunda sehingga September 2022.”

Salah seorang peserta bantahan, Nurul Ifayah, 18, berkata tempoh 15 bulan penangguhan tidak boleh diterima.

“Bagaimana kerajaan boleh kata belia adalah masa depan negara tetapi tidak memberi hak mengundi kepada kami?

“Kami menggesa kerajaan untuk melaksanakan Unid18 seawal Julai tahun ini dan membuka Parlimen secepat mungkin,” katanya.

Beberapa pemimpin politik turut hadir pada sesi bantahan itu termasuk bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, ahli Parlimen PKR Maria Chin Abdullah dan Chua Tian Chang serta beberapa NGO seperti Bersih 2.0 dan Demokrat Nasional. – 27 Mac, 2021.

Iklan
Iklan