Iklan

Polis panggil 7 terlibat tunjuk perasaan Undi18 Sabtu lalu

Elill Easwaran4 years ago29th Mar 2021Berita
02  full
Sabtu lalu penunjuk perasaan memegang plakat sambil duduk di luar bangunan Parlimen untuk memprotes penangguhan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam membenarkan usia 18 tahun mengundi di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mac 2021.
Iklan

POLIS telah memanggil tujuh peserta tunjuk perasaan Undi18 di luar Parlimen Sabtu lalu, kata setiausaha Muda Amir Abdul Hadi.

Kenyataan ketujuh-tujuh mereka akan direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang esok. Mereka akan ditemani ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Tujuh mereka itu adalah Amir, ketua pemuda DAP Howard Lee, naib presiden PKR Chua Tian Chang atau dikenali sebagai Tian Chua, ketua pemuda Amanah Shazni Munir, Adun DAP Ketari Syefura Othman, Saharan Raj dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan pengasas kumpulan masyarakat sivil #Liberasi Arveent Srirangan Kathirtchelvan.

Amir berkata polis mempunyai senarai 11 individu yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu. Yang lain akan dipanggil kemudian.

Polis melancarkan siasatan segera ke atas penganjur dan peserta Undi18 Sabtu lalu.

Kira-kira 300 pemuda berkumpul di luar Parlimen dan berdiam diri selama 18 minit secara simbolik untuk memprotes pengumuman penundaan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi sehingga 1 September tahun depan.

Beberapa ahli politik pembangkang turut hadir dalam tunjuk perasaan itu, termasuk bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, ahli Parlimen PKR Maria Chin Abdullah dan Tian Chua, bersama dengan kumpulan masyarakat sivil lain seperti Bersih 2.0 dan Demokrat Nasional.

Walaupun Rang Undang-undang bagi menurunkan usia mengundi telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen, undang-undang lain yang berkaitan dengan pilihan raya belum diubah bagi memungkinkan pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun memandangkan Parlimen ditangguhkan kerana darurat bagi membendung pandemik Covid-19. – 29 Mac, 2021.

Iklan
Iklan