Iklan

Kembali bekerja di pejabat langkah buruk, kata pekerja

Elill Easwaran4 years ago3rd Apr 2021Berita
49930716156 7f84f05860 b
Ketika PKP dikuatkuasakan, semua diarahkan untuk bekerja dari rumah, dan kini mereka perlu kembali ke pejabat ketika PKPB mulai 1 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2021.
Iklan

TIDAK semua pekerja gembira dengan keputusan kerajaan untuk menarik kembali perintah bekerja dari rumah (BDR) dan mengarahkan mereka kembali ke pejabat di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 1 April.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight jumlah kes Covid-19 masih kekal dalam empat angka, dan tidak ada penurunan kes yang besar sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada pertengahan Januari.

Mereka masih prihatin dengan pendedahan virus Covid-19 yang terus menular dalam masyarakat, kata mereka.

Pada Rabu, Majlis Keselamatan Nasional memutuskan mulai 1 April, perintah 30% pekerja bekerja dari pejabat di kawasan PKPB akan dihapuskan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan ini diambil atas saranan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi membenarkan kumpulan pengurusan dan penyeliaan syarikat beroperasi pada tahap maksimum.

“Sejujurnya idea yang buruk membiarkan pejabat menampung kapasiti 100%,” kata Joshua Yip, 23, yang bekerja di syarikat Fintech.

Beliau berkata, kerajaan perlu berhati-hati membiarkan pekerja kembali ke pejabat mereka dengan kapasiti penuh kerana virus itu masih aktif.

“Ya, angka 1,000 lebih rendah dibandingkan dengan jumlah kes yang kita dapati pada awal tahun ini, tetapi jika perkara ini tidak ditangani, kes akan meningkat lagi,” katanya

Beliau berkata konsep BDR telah berjalan dengan baik dan tidak perlu menggesa orang kembali ke pejabat.

Maryam Mansoor, 24, yang bekerja di sebuah firma undang-undang, juga ragu-ragu dengan idea untuk meminta mereka kembali ke pejabat untuk bekerja.

“Ini sangat merisaukan kerana jumlah kes masih sangat tinggi. Membolehkan orang masuk ke pejabat hanya akan menambah jumlah kes,” katanya.

Tambahnya jumlah kes hanya akan meningkat jika orang di pejabat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat.

“Bagi saya, membenarkan 100% ke pejabat juga akan meningkatkan trafik dalam pengangkutan awam.

“Saya sudah tak guna LRT sejak pelaksanaan PKPB sebab mustahil menjarakkan diri.

“Bayangkan betapa sesaknya bila semua orang kembali ke pejabat, itu akan buat keadaan huru-hara,” katanya.

Raeden Wong, 31, yang bekerja di industri veterinar, berkata kapasiti 100% untuk bekerja di pejabat akan berjaya di syarikat besar tetapi bukan di syarikat yang lebih kecil.

“Sebahagian besar kerja saya hanya melibatkan saya menggunakan komputer, jadi saya harap syarikat saya tak panggil saya untuk datang ke pejabat setiap hari kerana saya ada ahli keluarga tua di rumah.

“Sekali lagi, jika mereka panggil saya untuk datang bekerja, saya tidak ada pilihan selain pergi sebab kewangan kita semua telah terjejas oleh pandemik,” katanya.

Kishan Varma, 25, yang bekerja di industri harta tanah, sementara itu berkata, akan lebih baik jika bos membuat campuran kerja dari rumah dan pejabat dan bukannya hanya meminta semua orang datang ke pejabat.

“Saya rasa langkah kerajaan ini akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat kerana tidak semua industri dapat bekerja dari rumah,” katanya. – 3 April, 2021.

Iklan
Iklan