Ahli Parlimen sudah divaksin, bila Parlimen boleh bersidang, soal Teresa Kok
Iklan
TIADA alasan lagi untuk Putrajaya menggantung sidang Parlimen kerana kebanyakan wakil rakyat sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, kata Teresa Kok.
Tindakan kerajaan menutup ruang ahli Parlimen bersuara tidak masuk akal, sedangkan stadium bola sepak dibenarkan buka, tambahnya.
“Sebelum ini kerajaan beri alasan kebanyakan ahli Parlimen berusia lebih 60 tahun dan tergolong dalam golongan berisiko tinggi. Tetapi sekarang kami sudah menerima dua dos vaksin, jadi sudah tiba masanya Parlimen dibuka.
“Kerajaan membenarkan penonton masuk stadium bermula 6 April, tetapi kami masih tidak boleh masuk Parlimen,” kata ahli Parlimen Seputeh itu kepada pemberita, selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur hari ini.
Pada 3 Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata sidang Parlimen akan ditangguhkan sepanjang tempoh darurat yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos ini.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut sama menggesa Parlimen dibenarkan bersidang.
“Hampir semua ahli Parlimen sudah divaksin, jadi saya tidak nampak sebab dan alasan kerajaan tutup Parlimen.
“Kerajaan mesti membuktikan majoriti yang mereka ada dengan membenarkan Parlimen bersidang,” katanya, yang juga menerima dos kedua vaksin Covid-19 bersama ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Februari bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat perdana menteri.
Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah untuk membendung wabak Covid-19 di Malaysia. – 5 April, 2021.