Rundingan kerusi dalam BN terhenti kerana Umno, kata sumber
Iklan
WALAUPUN Umno menggesa agar pilihan raya diadakan segera, rundingan kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional masih menemui jalan buntu sejak Januari, kata sumber.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight rundingan itu masih tertangguh sejak Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memecat pengkritiknya Annuar Musa dari jawatan setiausaha agung pada Januari.
Sumber juga berkata kebuntuan itu disebabkan oleh sikap Umno yang menuntut kerusi yang secara tradisinya ditandingi parti BN yang lain.
Tambah mereka Zahid juga berlum berbincang dengan rakan dalam BN berhubung hala tuju gabungan itu dalam PRU15.
Bagaimanapun pemimpin BN dijadualkan untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan beberapa perkara, termasuk pendiriannya dalam pilihan raya umum akan datang.
“Ketika Annuar menjadi setiausaha agung BN, beliau bertindak sebagai ketua penyelaras antara parti-parti BN dalam perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi.
“Namun pada awal Januari tahun ini, Zahid secara tiba-tiba mengumumkan pemecatan Annuar yang menyebabkan rundingan kerusi terhenti,” kata sumber daripada parti dalam gabungan itu.
“Dan selepas Ahmad Maslan mengambil alih jawatan sebagai setiausaha agung BN, langsung tiada rundingan kerusi.”
Tambahnya rundingan kerusi juga belum dimulakan dengan PAS, dan mereka kini tertanya-tanya apakah Umno akan bekerjasama dengan parti Islam itu atau tidak seperti yang telah dipersetujui dalam Muafakat Nasional Umno-PAS.
Bulan lalu, Umno dalam perhimpunan agungnya memutuskan ia tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional pada pilihan raya akan datang, dan akan bergerak sendiri di bawah BN.
Ia turut menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membubar Parlimen sebaik sahaja darurat tamat pada Ogos.
Pada masa yang sama, Umno turut meminta PAS menyatakan pendirian berhubung kerjasamanya dalam MN.
Bagaimanapun PAS menyatakaan keutamaannya untuk bekerjasama dengan Bersatu dan PN walaupun turut meminta Umno untuk bekerjasama demi kepentingan Melayu/Islam.
Parti lain dalam BN – MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) – menyatakan keputusan Umno tidak mencerminkan pendirian gabungan itu kerana ia tidak dibincangkan dalam BN.
Buli Umno
Sumber juga menyatakan masalah lain yang timbul adalah ketika perbincangan awal dimulakan tahun lalu, bahagian Umno dan pemimpin akar umbi tellah membuat pengumuman terbuka dari semasa ke semasa menuntut kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada parti lain.
Oleh itu, pemimpin Umno menuntut untuk bertanding di banyak kerusi tradisi milik MCA dan MIC.
Ini termasuk kerusi Parlimen MCA di Alor Setar, Padang Serai, Tanjung Malim, Ampang, Selayang, Wangsa Maju, Seremban, Alor Gajah dan Kuantan.
Pada pilihan raya lalu, MCA tewas atau gagal memenangi semula kerusi ini daripada parti dalam Pakatan Harapan.
Bagi MIC, Umno menuntut kerusi Sungai Siput, Hulu Selangor, Sungai Buloh dan Kapar - yang dianggap sebagai kerusi tradisi yang mana Sungai Siput mempunyai ikatan emosi kepada parti itu kerana ia pernah disandang oleh presiden sebelum ini V Sambanthan dan S Sammy Vellu sejak 1959.
Bagaimanapun parti itu tewas semua kerusi berkenaan pada pilihan raya 2008.– 5 April, 2021.
Berita penuh di sini.