SPRM tumpas sindiket godam sistem imigresen, keluar dokumen palsu
Iklan
SATU sindiket menggodam pengkalan data imigresen bagi mengeluarkan dokumen palsu untuk dijual dan menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit berjaya dilumpuhkan, menurut agensi antirasuah.
Menurut sumber, lima orang termasuk ketua sindiket yang bergelar Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi.
Sindiket itu didapati bekerjasama dengan orang dalam bagi mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, mengakibatkan kerugian mencecah ratusan juta ringgit kepada kerajaan.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu The Malaysian Insight,
“Kesemua suspek berusia 33 tahun hingga 43 tahun telah ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan JIM sejak setahun yang lalu,” katanya.
Jelas beliau, sindiket tersebut berjaya menggodam pengkalan data JIM dengan memasang pemancar di bilik komputer JIM dengan mendapat kerjasama orang dalam.
“... (Ia) membolehkan anggota sindiket untuk menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat JIM,” katanya.
Dengan akses tersebut, boleh memasukkan nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah ia diperolehi secara sah.
“Keupayaan ahli-ahli sindiket mengodam sistem komputer JIM membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.
“Dianggarkan ratusan ribu PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap PLKS,” katanya.
Sumber berkata, sindiket ini merupakan satu pencerobohan ke dalam pengkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.
“Yang lebih mengerunkan di mana, sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status senarai hitam atau ‘red alert’ seseorang individu untuk membolehkan beliau melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu,” katanya.
Kes itu lanjutan daripaa isu yang dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.
Katanya, hasil serbuan semalam peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan pemancar yang digunakan sindiket berjaya dirampas.
Sumber berkata, sindiket ini dipercayai sedang beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail dan sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau menegaskan siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk “orang dalam” dikenakan tindakan yang sewajarnya.
“SPRM memuji ketegasan ketua pengarah JIM kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini,” katanya. – 6 April, 2021.