Bekas pegawai Imigresen buka jalan sindiket palsukan pas pekerja, kata SPRM
Iklan
SINDIKET pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dibantu oleh bekas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membuka jalan sehingga mereka dapat membolosi sistem operasi agensi dan menghasilkan lebih 21,000 pas palsu sejak lebih sedekad yang lalu, kata agensi anti rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata bekas pegawai itu, yang berhenti kerja beberapa tahun lepas, antara lima yang ditahan sejak awal pagi semalam.
Mereka ditahan dalam operasi di 22 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah, tambahnya.
“Bekas pegawai Imigresen itu yang membuka jalan kepada sindiket ini mengakses dan menggodam sistem jabatan itu yang kemudiannya beroperasi dari luar pejabat untuk menghasilkan PLKS palsu.
“Dia memang faham dan arif mengenai sistem ini selain pembabitan pegawai dalaman untuk memperoleh ID (pengenalan diri) dan menggodam sistem berkenaan,” katanya dalam sidang media, di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Selain seorang bekas pekerja, operasi semalam turut menahan dalang utama sindiket iaitu seorang ahli perniagaan, yang menguruskan sindiket itu yang sehingga ini dipercayai sudah memperoleh keuntungan sehingga lebih RM4.7 juta.
Sementara itu, sumber agensi anti rasuah mendedahkan ahli perniagaan bergelar datuk itu mencari untung daripada kepakaran yang ada pada bekas kakitangan Imigresen dan tiga individu lain yang pakar dalam bidang teknikal
“Tiga suspek itu diupah bekerja oleh sindiket. Tiga suspek itu memang pakar dalam bidang teknikal tetapi bukan penggodam yang pakar. Cuma mereka dibekalkan dengan semua selok belok sistem itu (oleh bekas kakitangan Imigresen).
“Selain menghasilkan PLKS palsu, mereka juga boleh membuka dan menutup semula status “senarai hitam” atau “red alert” seseorang individu untuk membolehkan individu itu melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu.
“Mereka tidak perlu mencari pelanggan sebaliknya pelanggan yang mencari mereka.
“Kepakaran mereka memang dibongkar hasil siasatan dalaman Imigresen yang mendapat tahu mengenai ID pegawai yang disalahgunakan,” katanya.
Angkara sindiket itu bocor apabila siasatan mengesan ID pegawai yang sedang cuti sakit beroperasi dalam sistem, tambah sumber.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, jabatannya mula mengesan kegiatan sindiket ini hasil siasatan dalaman pada tahun lalu.
“Kemudiannya, kami meminta bantuan daripada SPRM untuk membongkar sindiket yang memang membabitkan pegawai JIM sendiri.
“Setakat ini tiada pegawai JIM yang ditahan tetapi tangkapan susulan pasti akan dilakukan dan ia bergantung kepada siasatan pasukan petugas yang dianggotai SPRM dan JIM,” katanya.
Operasi kesan pemegang pas palsu
Dalam pada itu, Khairul berkata, pihak Imigresen akan membuat operasi besar-besaran untuk memburu semua 21,378 warga asing yang menggunakan PLKS palsu itu.
“Tindakan juga akan diambil ke atas majikan semua warga asing ini,” katanya.
Semalam, SPRM dan JIM menahan lima suspek berusia 33 tahun hingga 43 tahun yang menggodam pangkalan data JIM dengan memasang alat pemancar untuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat agensi.
Pihak berkuasa menyifatkan tindakan mereka ini menceroboh pangkalan data agensi kerajaan dan merupakan kebocoran keselamatan yang sangat serius.
Awal hari ini, semua lima suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dan dikenakan perintah tahanan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut.
Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Isu kebocoran sistem Imigresen ini pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2018 sementara isu ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara turut dibincangkan di Parlimen. – 7 April, 2021.