Iklan

Umno tidak boleh kerjasama dengan PKR, DAP, kata Tun Faisal

Nabihah HamidChan Kok Leong4 years ago8th Apr 2021Berita
Tun faisal april 06, 2021 afif 04
Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berkata Presiden Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP kerana perbezaan idealogi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 8 April, 2021.
Iklan

UMNO tidak boleh bekerjasama dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH) kerana ideologi mereka berdasarkan sosialisme dan kesamaan untuk semua, kata Tun Faisal Ismail Aziz.

“Apa yang berbeza adalah ideologi tetapi kalau ia dapat diharmonikan, itu lain cerita. Saya tak percaya kita boleh harmonikan ideologi, sosialisme yang memandang sama rata semua perkara,” kata wakil ketua Umno Bahagian Putrajaya itu kepada Insight Talk.

“Perlembagaan Perseketuan meletakkan agama Islam sebagai yang tertinggi dan ada keistimewaan. Saya tidak percaya pembawa avengelisme boleh menerimanya,” kata bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Tun Faisal yang juga merupakan pegawai akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, menjawab soalan sama ada Umno boleh bekerjasama dengan PKR atau DAP dalam politik.

Beliau turut menyentuh mengenai isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang menjadi punca jatuhnya kerajaan PH.

“Kerajaan PH tidak akan jatuh sekiranya isu-isu ini tidak menjadi masalah,” kata Tun Faisal.

“Ini adalah isu yang tidak boleh dikompromikan. Oleh itu, mengapa kita mahu membuat pilihan yang salah,” tambahnya.

Isu ICERD dan Statut Rom pertama kali dicadangkan oleh bekas menteri luar PH Saifuddin Abdullah, yang kini menjadi menteri penerangan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Putrajaya memutuskan untuk tidak meratifikasi Statut Rom dan ICERD susulan tekanan daripada Raja-raja Melayu dan kumpulan Islam yang mendakwa perjanjian tersebut menyentuh mengenai monarki, hak istimewa Melayu, dan kesucian Islam.

Kerajaan PH jatuh selepas Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membawa keluar partinya daripada gabungan itu. 

Bersama dengan 11 pemimpin yang belot, diketuai oleh Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali daripada PKR, kerajaan PH jatuh pada Februari 2020.

Isu itu timbul selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, DAP dan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

Tun Faisal dan Annuar adalah antara pengkritik Zahid yang menentang kerjasama dengan parti  dalam PH tetapi memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu dan PN.

Pada 27-28 Mac, PAU memilih untuk mengakhiri kerjasama politik dengan Bersatu dan memberi mandat kepada pucuk pimpinan agar menarik diri daripada kerajaan PN apabila tiba masa yang sesuai.

Sebelum bergabung dengan Annuar, Tun Faisal sering menyerang PKR dan DAP kerana cuba menyingkirkan hak dan keistimewaan kaum Melayu, mencabar kedudukan agama Islam di negara ini serta menuduh DAP mempunyai agenda Kristian untuk menakutkan orang Melayu sgar menyokong Umno. – 8 April, 2021.

Iklan
Iklan