Portal The Rakyat untuk tawan pengundi generasi digital
Iklan
BARISAN Nasional (BN) melancarkan portal The Rakyat untuk kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana sedar keupayaan terbatas media arus perdana miliknya yang tidak lagi berkesan mempengaruhi pengundi, kata penganalisis media.
Mereka melihat ia satu usaha bersungguh-sungguh BN mahu mendekati kelompok pengundi yang bergantung kepada platform digital untuk mendapatkan sumber maklumat.
Pensyarah media di Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata BN sudah belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.
“BN mempunyai kesedaran bahawa mereka perlu mencari alternatif. Jumlah edaran media cetak menjunam teruk disebabkan minat orang membaca media online.
“Kesilapan mereka pada 2008 mereka mengabaikan kuasa melalui internet ini, disebabkan itu mereka menggunakan alat itu (platform digital) sepenuhnya pada pilihan raya ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Jeniri menyebut satu kajian yang menunjukkan 92% orang muda mendapatkan bahan berita melalui telefon pintar sehingga menyebabkan BN juga melihat maklumat mengenai parti pemerintah itu mesti juga disampai melalui medium yang sama.
Beliau bagaimanapun memberi ingatan The Rakyat perlu bijak memaparkan kandungannya agar menarik dan tidak dilihat propaganda semata-mata sehingga menyebabkan ia tidak dipedulikan seperti beberapa portal tajaan BN yang lain.
Perdana Menteri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kelmarin melancarkan portal The Rakyat sebagai wadah rakyat mendapatkan “berita sahih dan tepat” untuk menangani berita palsu pembangkang menjelang PRU14.
Ia dilancarkan untuk kali kedua selepas pelancaran portal e-Rakyat, sebuah buletin dalam talian untuk menerangkan isu semasa, dasar kerajaan dan projek pembangunan BN kepada rakyat pada 29 Mac tahun lepas.
Sementara itu, pensyarah media di Universiti Nottingham Malaysia, Gayathry Venkinetswaran berkata sejak dua dekad lalu, BN sudah tidak lagi mampu mengepung sokongan pengundi akar mereka iaitu kaum Melayu kerana media yang dikuasainya semakin hilang pengaruh.
“BN mungkin sedar kawalan media warisan mereka tidak mampu lagi mempengaruhi pengundi totok mereka. Sementara itu, kita turut melihat kejatuhan syarikat media dalam masa dua dekad ini.
“Lebih penting, portal ini bukanlah digunakan untuk memberi berita yang tepat dan bermaklumat, sebaliknya untuk memenuhkan ruang alam maya dan aplikasi mesej dengan propaganda BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Gayathry yang juga bekas penyelaras Jaringan Media Asia Tenggara (SEAPA) berkata theRakyat dan portal-portal maklumat kawalan BN lain diwujudkan khas untuk mendapatkan undi kaum Melayu yang kini semakin berpecah selepas penubuhan Bersatu yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, ia hanyalah untuk meraih sokongan dan menyampaikan propaganda, dan tidak boleh diharap untuk mempertahankan etika kewartawanan seperti media lain.
“Saya fikir strategi BN ialah menggunakan media sosial sebanyak mungkin untuk memenangkan pengundi akar mereka (yang selama ini mengundi Umno) yang mungkin beralih kepada Bersatu.
“Ia tidak akan mempengaruhi mereka yang telahpun menyokong pembangkang. Parti komponen BN lain turut tidak mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Tambah Gayathry, sama seperti Skuad Penerangan Anak Muda (SPAM) yang dilancarkan baru-baru ini, The Rakyat akan disasarkan kepada pengundi atas pagar terutamanya dalam kalangan Melayu yang aktif di alam maya.
Semasa melancarkan The Rakyat kelmarin Najib berkata portal itu menyediakan maklumat dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban dalam bentuk teks, video dan grafik.
Ia juga akan memuatkan maklumat calon yang bertanding dalam PRU14 serta manifesto BN, apabila masanya tiba nanti.
Presiden MCA Liow Tiong Lai menyifatkan portal The Rakyat nafas baharu kepada BN untuk memenangi hati rakyat pada PRU14 sekali gus membantu BN memerangi “fitnah serta pembohongan” yang disebarkan melalui media sosial oleh pembangkang.
“Bahang PRU sudah terasa dan BN sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan saingan sengit kali ini. Antara alternatif untuk kemenangan besar kali ini adalah dengan kewujudan portal ini,” katanya. – 5 Januari, 2018.