Iklan

Larang agih makanan semasa Ramadan, dapur jalanan berbeza pendapat

Elill Easwaran4 years ago11th Apr 2021Berita
49930485808 74bcba0bd4 b (1)
Arahan dibuat DBKL untuk menghentikan pemberian makanan kepada gelandangan semasa Ramadan akan menjaga kebersihan namun menyukarkan golongan berkenaan mendapatkan makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.
Iklan

DAPUR jalanan mempunyai pendapat berbeza berkenaan arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menghentikan pengedaran makanan terus kepada gelandangan pada bulan Ramadan.

Penguatkuasaan ini dikenakan terhadap kumpulan amal dan individu yang mencari gelandangan serta memberikan makanan secara langsung berbanding kumpulan yang mengatur pemberian makanan di lokasi tetap.

Di pihak lain, larangan pengedaran makanan secara langsung akan membantu menjaga kebersihan jalanan yang boleh menyebabkan masalah lain, kata pengasas Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM), Elisha Kor Krishnan.

“Ramai individu mengedarkan makanan kepada gelandangan secara langsung yang boleh mendatangkan banyak sampah.

“Walaupun ia merupakan langkah yang baik oleh pihak berkuasa bagi menetapkan lokasi khusus untuk pengedaran makanan, namun hal itu juga dapat mengakibatkan orang ramai berkumpul.

“Dan ini juga menyukarkan gelandangan yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri untuk mendapatkan makanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PKKUM ketika ini memberikan makanan tiga kali sehari kepada kira-kira 100 orang di kawasan Chow Kit yang kehilangan pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka terdiri daripada gelandangan, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan peniaga kecil.

Keputusan DBKL dibuat bagi mencegah pembaziran dan pencemaran serta mengekang kemungkinan penyebaran Covid-19.

Mereka mahu pengedaran makanan dibuat di dua pusat transit gelandangan iaitu di Jalan Pahang dan Medan Tuanku serta Pusat Pembelajaran Komuniti di Chow Kit.

Mereka yang ingin menyumbangkan makanan kepada gelandangan boleh menghubungi talian 03-26176321 untuk menjadualkan kegiatan mereka dan mereka yang tidak mematuhi arahan itu boleh berdepan tindakan penguatkuasaan, kata DBKL.

Munirah Abdul Hamid, pengasas dapur jalanan Pertiwi berkata masalah kebersihan berpunca dari pengedaran yang berlebihan menyebabkan pembaziran makanan.

“Kami bahkan terpaksa mengumpulkan makanan yang tidak dimakan dan dibuang,” katanya.

Sementara itu pengasas Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (SEED) Mitch Yusof berkata sudah tiba masanya DBKL berjumpa dengan pelbagai kumpulan amal untuk membincangkan berkenaan pengedaran makanan dan bukannya melarang mereka.

“Tidak semua kehilangan tempat tinggal, B40 dan komuniti yang tidak mempunyai pengangkutan. Ada yang tidak dapat berjalan, ada yang mempunyai kecacatan fizikal dan sudah tua, jadi kita tidak boleh mengharapkan mereka datang ke lokasi tertentu,” katanya.

Beliau menambah bahawa mengehadkan pengedaran makanan hanya ke dua pusat transit gelandangan sebagai lokasi tetap hanya menyebabkan kesesakan orang ramai. – 11 April, 2021.

Iklan
Iklan