Iklan

Penjual sayur, pengurus operasi beri harapan kepada orang miskin

Elill Easwaran4 years ago14th Apr 2021Berita
Img 7456
Gabriel Moses memunggah sayur-sayuran dari vannya untuk diberikan kepada pelarian. – Gambar The Malaysian Insight, 14 April, 2021.
Iklan

HASIL usaha penjual sayur dan pengurus latihan operasi, kira-kira 700 keluarga miskin di Lembah Klang mendapat bekalan sayur secara berterusan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Michael Tan, 51, merupakan pemborong sayur di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang sementara Gabriel Moses, 60, adalah pengurus latihan operasi di sebuah syarikat penghantaran barang.

Kedua-dua mereka berkenalan melalui rakan-rakan dan sejak setahun lalu bekerjasama membantu komuniti pendatang serta mereka dari kumpulan B40 di Lembah Klang.

Tan akan menghubungi Moses dua atau tiga kali seminggu sekiranya terdapat lebihan bekalan sayur yang tidak dapat dijual.

Moses akan mengambil bakul sayur-sayuran dan berhenti di sekitar kawasan seperti di Selayang, Sentul, Pandan Indah, Setapak dan Gombak di mana komuniti miskin akan menunggu.

Tan memberitahu The Malaysian Insight bahawa disebabkan wabak Covid-19, masih ramai yang tidak pergi ke pasar dan akibatnya banyak sayur-sayuran terbuang begitu sahaja.

“Ketika Gabriel berjumpa saya, saya bersyukur kerana tahu sayur-sayuran tidak akan dibazirkan. Beberapa keluarga miskin dapat menikmatinya.

“Walaupun saya tidak dapat menyediakannya setiap hari tetapi setiap kali ada banyak yang berlebihan, saya akan menelefon pada waktu petang dan dia akan datang selepas pulang bekerja. Ini berlaku dua atau tiga kali seminggu.

“Sebelum ini semua lebihan sayur-sayuran akan dibuang tetapi dengan adanya Gabriel, sekurang-kurangnya saya tidak rasa bersalah membazirkan kerja keras para petani,” kata Tan.

Sementara Moses berkata sebelum ini dia membantu gerejanya mengedarkan barangan runcit kepada orang miskin tetapi tidak dapat diteruskan semasa PKP apabila gereja ditutup.

“Ramai yang menghubungi saya untuk meminta bantuan. Saya memberitahu mereka bahawa saya tidak pasti bagaimana saya boleh membantu tetapi malam itu saya tidak dapat tidur.

“Keesokan harinya saya ke gereja dan mencadangkan untuk bergerak menaiki kenderaan bagi mengedarkan makanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika itulah Gabriel menghubungi Tan melalui rakan-rakannya.

Pada mulanya Moses menggunakan keretanya sendiri tetapi terlalu kecil kerana muatan sayur terlalu banyak.

Rakannya Leonard Paiva meminjamkan vannya dan mereka berdua kini adalah wajah yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat migran dan B40.

Mereka biasanya akan menerima panggilan daripada Tan pada lewat petang dan kadangkala selepas jam 10 malam baru mereka selesai mengedar sayur-sayuran,

“Apabila kami menerima panggilan, kami akan memanggil komuniti miskin di lokasi yang akan kami kunjungi pada hari itu dan memberitahu mereka untuk menunggu kami,” kata Moses.

“Ketika kami tiba, ada kerumuman kecil yang menunggu kami. Kami akan menurunkan peti dan menunggu mereka mengambil barang yang diperlukan.

“Kami berusaha memastikan bahawa tidak ada sayur-sayuran yang terbuang. Sekiranya ada lebih, kami akan terus mencari orang lain sehingga semuanya diedarkan,” katanya.

Pelarian mengambil sayur-sayuran yang dibawa oleh Moses. – Gambar The Malaysian Insight, 14 April, 2021.

Senyuman mereka menceritakan segalanya

The Malaysian Insight pada minggu lalu mengikut Moses ke Sentul di mana orang ramai sudah menunggu kehadiran van mereka.

Mereka berbaris dengan teratur dan mengambil apa sahaja yang ada – timun, salad, tomato, kobis, terung dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi serta kangkung.

Tidak tergesa-gesa. Mereka mengambil seberapa banyak yang mereka inginkan, mengucapkan terima kasih kepada Moses dengan senyuman rasa syukur dan kemudian pulang.

Salah seorang daripada mereka, Ashwin Baskaran, seorang pelarian berusia 19 tahun dari Sri Lanka berkata sayur-sayuran itu boleh digunakan selama sebulan.

“Ibu saya mengusahakan sebuah gerai makanan di Jalan Masjid India, jadi kami mengambil lebih sedikit berbanding yang lain kerana ibu saya dapat menggunakan sayura-sayuran di gerainya.

“Saya mempunyai enam ahli keluarga dan sumbangan ini banyak membantu meringankan beban kami,” katanya.

Pelarian Jasentha Anandarasa, 45, yang sudah berada di Malaysia selama 16 tahun berkata bahawa ini adalah kali pertama seseorang tampil membantunya dengan tangan terbuka.

“Sebelum ini ketika kami pergi ke pasar, lebih banyak membeli sayur kerana kami tidak mampu membeli daging dan ikan.

“Ini adalah pertolongan besar. Dengan wang simpanan, sekarang kami dapat membeli ikan atau sedikit daging,” katanya.

Dia menambah bahawa walaupun van selalu penuh, dia hanya mengambil apa yang diperlukan sahaja.

“Kita perlu memikirkan orang lain yang turut beratur,” katanya.

Sri Kanjaran juga antara yang gembira ketika ditemui mendapatkan sayur-sayuran di Sentul.

Lelaki berusia 43 tahun itu kehilangan pekerjaan semasa PKP dan sukar untuknya menanggung isteri serta dua anaknya.

“Selalunya mereka hanya makan nasi kosong. Tetapi keadaan berubah dalam dua bulan terakhir ini apabila mereka mula mendapatkan sayur-sayuran percuma.

“Ini bukan sahaja membantu keluarga saya untuk menabung tetapi juga memberikan senyuman kepada wajah ahli keluarga saya,” katanya.

Sementara Moses berharap lebih ramai golongan muda mengambil bahagian dalam membantu golongan miskin dan dia juga mengajak sesiapa sahaja bergabung dengannya dalam misinya membantu mereka yang memerlukan.

Mereka yang berminat menjadi sukarelawan atau membantunya boleh menghubungi 012-2099114. – 14 April, 2021.

Iklan
Iklan