Iklan

Bantuan makanan, tajaan untuk persekolahan anak pelarian  

Aminah Farid4 years ago17th Apr 2021Berita
Dignity 3
Sekolah pelarian yang diuruskan oleh Dignity memantau keciciran pelajar sejak tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2021.
Iklan

KUMPULAN yang menguruskan sekolah pelarian beralih kepada program tajaan dan penyediaan bantuan makanan kepada keluarga pelajar bagi memastikan mereka tidak tercicir. 

Ia bagi memastikan mereka dapat meneruskan pelajaran dengan memastikan mereka tidak perlu berhenti belajar untuk bekerja bagi membantu keluarga, kata Pegawai Komunikasi dan Pemasaran Yayasan Dignity for Children.

Sekolah pelarian yang diuruskan oleh Dignity memantau keciciran pelajar sejak tahun lalu dan memutuskan untuk menyediakan keperluan asas kepada keluarga terlibat agar anak-anak mereka dapat hadir ke kelas. 

“Kami menyediakan barangan runcit dan barangan kebersihan peribadi, subsidi yuran sekolah dan beberapa bantuan sewa kepada hampir 1,600 pelajar agar mereka tidak tercicir dari sekolah untuk bekerja bagi membantu pendapatan keluarga,” kata Liew kepada The Malaysian Insight. 

Bantuan tambahan ini menyaksikan peningkatan pelajar di kelas dalam talian, katanya. 

“Kehadiran untuk kelas online meningkat dari 40% pada 2020 kepada purata 80% bagi seluruh program kami,” katanya. 

Dignity mengendalikan pusat pembelajaran komuniti kepada golongan miskin bandar termasuk pelarian dengan kelas dari pra-sekolah hingga peringkat  IGCSE ‘O’ Level dan kemahiran vokasional. 

Walaupun berdepan cabaran ketika perintah kawalan pergerakan Covid-19 tahun lalu, 48 pelajar menamatkan pengajian dengan keputusan IGCSE terbaik setakat ini, kata Liew.

“Kami sangat bangga dengan pelajar menengah Kelas 2020 yang menduduki peperiksaan IGCSE. Dengan program langsung khas, pelajar menerima panduan tambahan dan tuisyen dalam persekitaran kondusif bagi memastikan mereka bersedia untuk peperiksaan.”

Peralihan ke dalam talian dan menyesuaikan pembelajaran bukan mudah namun Dignity tahu ia tidak dapat dielakkan demi pelajar. 

“Kurang kemahiran digital dan panduan itu bapa; ini adalah cabaran terbesar,” katanya. 

Guru perlu memberi panduan kepada pelajar menerusi Whatsapp secara individu pada awal bulan dan sesetengah pelajar tidak hadir kelas dalam talian kerana tiada kemudahan internet dan gajet. 

“Kami memulakan pasukan produksi kandungan pendidikan dalaman dan menyiapkan bahan untuk pelajar kami untuk memastikan penglibatan dan pembelajaran produktif untuk pelajar prasekolah.”

Tahun lalu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa sekolah-sekolah pelarian mengalami masalah sejak dibuka semula selepas kelonggaran perintah kawalan pergerakan. 

Beberapa sekolah di Kuala Lumpur terpaksa ditutup berikutan ketiadaan dana. 

Liew berkata ancaman untuk penutupan masih ada berikutan situasi ekonomi tidak menentu yang turut menjejaskan ibu bapa pelarian. 

“Keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan ibu bapa banyak kegelisahan - sama ada mereka mempunyai pekerjaan atau sumber daya yang mencukupi untuk menjaga anak-anak mereka di sekolah dan untuk kita sebagai organisasi, sama ada kita mempunyai cukup untuk membayar perbelanjaan kita,” katanya.

Save School for Refugees mengembangkan prgram tajaan bagi memastikan keciciran pelajar yang terdiri daripada anak-anak pelarian diatasi.– 16 April, 2021.

Sementara itu Save School for Refugees telah mengembangkan program tajaan untuk memastikan mereka terus beroperasi mereka setelah melihat penurunan bayaran oleh ibu bapa tahun lalu.

Pengasas bersamanya Isack Ibrahim dan Omar Youcef meminta penderma menaja 61 pelajar untuk tempoh yang ditetapkan agar mereka dapat mengurangkan beban ibu bapa dan membayar sekolah serta gaji para guru. 

Sekolah yang berpusat di Kuala Lumpur yang menawarkan pendidikan tahap rendah dan latihan literasi tidak rasmi, kini mampu bertahan selama enam bulan lagi.

Sebelum wabak, Isack mengatakan sekolah itu mempunyai lebih daripada 200 pelajar, tetapi jumlah ini menurun kepada 127 tahun lalu kerana ibu bapa kehilangan pendapatan dan pelajar tidak dapat mengikuti kelas dalam talian.

“Untuk keselamatan guru dan anak-anak kami, kami terpaksa menghentikan kelas. Kami tidak tahu berapa lama. Kami mengambil masa untuk memulakan kelas dalam talian, kerana pelajar kami tidak mempunyai akses Internet dan peranti yang baik untuk mengikuti kelas tersebut,” katanya.

Dana berterusan kini menjadi cabaran terbesar kerana wang diperlukan untuk memastikan pendidikan berkualiti, tambahnya. 

Sementara itu Sekolah Sahabat yang dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Sosial Malaysia (MSRI), mengajar lebih daripada 380 kanak-kanak pelarian dan pencari suaka berusia enam hingga 18 tahun.

Pengarah eksekutifnya Ida Hariati berkata seramai 150 pelajar telah menerima tablet dan data mudah alih untuk meneruskan pelajaran dalam talian mereka.

“Kami mempunyai beberapa pelajar yang tercicir kerana mereka tidak mempunyai akses ke peranti atau data, namun ia sudah dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata sekolah itu stabil dari segi kewangan kerana mereka telah mendapat sokongan dan dana dari penderma, namun ia tetap menjadi cabaran kerana mereka mungkin memerlukan dana tambahan untuk membeli alat dan data untuk pelajar dan guru.

Sehingga Januari 2021, terdapat 178,710 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

Sebanyak 68% pelarian dan pencari suaka adalah lelaki, sementara 32% adalah wanita, dan 45,630 adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. – 17 April, 2021.

Iklan
Iklan