Pemulihan ekonomi sukar kerana kempen vaksin perlahan, kata kumpulan PKS
Iklan
KEMPEN untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang perlahan mungkin akan menyebabkan pemulihan ekonomi terutama bagi perusahaan kecil can sederhana (PKS) terjejas, kata peneraju sektor berkenaan.
Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata mod pemulihan ekonomi sudah bermula, namun tidak ramai orang mendapatkan suntikan vaksin dengan pantas dan kes baharu meningkat, menunjukkan kemungkinan berlaku gelombang keempat pandemik.
Kang berkata kebanyakan perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya.
“Kami merasakan pemulihan ekonomi perlahan. Tapi masalahnya adalah kadar vaksinasi tidak cukup pantas,” kata Kang kepada The Malaysian Insight.
“Adakah wajar untuk meminta semua orang mendaftar (untuk vaksin) jika bekalan tidak cukup?”
Kang menambah walaupun perniagaan sudah dibenarkan beroperasi semula, lanjutan larangan rentas negeri kecuali dengan kebenaran polis, memberi kesan bertentangan.
“Bagaimana nak berniaga jika sekatan masih diteruskan?” katanya.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 7% dan 6.7% tahun ini.
Namun setelah aliran menurun yang perlahan dari gelombang ketiga akhir tahun lalu dan awal tahun ini, kes aktif meningkat sejak minggu kedua April.
Kes harian baru juga meningkat kepada lebih 2.000 semalam (Khamis, 15 April), setelah lebih 40 hari kekal di bawah penanda aras itu.
Kempen vaksinasi Covid-19 Malaysia bermula pada 24 Februari, dan sejak itu kira-kira 8.83 juta orang atau 36.4% penduduk mendaftar untuk vaksin setakat 15 April, menurut data yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 1.1 juta orang menerima suntikan mereka, yang mana 671,589 menerima dos pertama, dan hanya 434,301 menyelesaikan vaksinasi dengan dos kedua.
Pengerusi Jawatankuasa SME, Persatuan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) Koong Lin Long turut merasakan kempen vaksinasi terlalu perlahan untuk memulihkan ekonomi.
Beliau turut bersetuju ekonomi tidak boleh berfungsi sepenuhnya jika sekatan rentas negeri masih diteruskan.
“Sekiranya kita ingin benarkan perjalanan rentas negeri, kerajaan perlu percepatkan vaksinasi bagi mengawal pandemik. Ekonomi perlu dibuka walaupun kita setuju beberapa sekatan perlu diteruskan,” kata Koong.
Kang berkata kebenaran perjalanan rentas negeri perlu bagi membantu sektor makanan dan minuman serta pelancongan, yang paling teruk terjejas kerana pandemik Covid-19.
“Hanya sektor elektronik, pengeluaran dan sektor penting yang masih baik, manakala banyak PKS lain bergelut untuk terus hidup,” kata Kang yang menambah digitalisasi lebih luas merupakan jalan keluar untuk PKS namun hanya 35% daripada mereka yang menerima lebih bayak proses digital tahun lalu.
Sementara itu, Koong dari ACCCIM berkata kebanyakan perniagaan mengambil langkah untuk tunggu dan lihat, terutamanya melibatkan pembukaan cawangan baharu atau pengembangan operasi.
Baru-baru ini Menteri Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata bekalan vaksin masih rendah berbanding jumlah orang yang mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan itu berkata ini kerana negara maju bertindak menyimpan vaksin, namun memberi jaminan Malaysia akan menerima vaksin secukupnya pada Jun atau Julai bagi meneruskan program berkenaan.
Kang bersetuju degan keputusan Kementerian Kesihatan baru-baru ini untuk membenarkan hospital swasta menjadi pusat vaksinasi dan pengamal perubatan awam untuk menguruskan vaksin Covid-19.
Ini akan membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan akan mengembalikan aktiviti ekonomi sepenuhnya dengan lebih pantas, katanya. – 18 April, 2021.