Iklan

Jangan usik Rimba Komuniti Shah Alam, kata penduduk

Elill Easwaran4 years ago23rd Apr 2021Berita
Facebook 1618973514778 6790467088930530871
Penduduk tidak mahu SACF dirosakkan untuk memberi laluan pembinaan projek jalan dan tapak perkuburan. – Gambar Facebook, 23 April, 2021.
Iklan

HILANGNYA Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) bagi memberi laluan untuk projek membuat jalan dan tapak perkuburan akan bermakna kurang satu lagi kawasan hijau di Lembah Klang, kata penduduk.

Mereka bengang kerana kerajaan negeri Selangor tidak mengiktiraf nilai hutan itu sebagai habitat semula jadi untuk haiwan seperti tapir dan ular, selain tempat rekreasi utama untuk orang ramai melakukan aktiviti masuk hutan atau berbasikal di denai sejauh 15km.

SACF, yang membentuk koridor antara beberapa bahagian di hutan simpan Bukit Cerakah juga memberi manfaat ekonomi kepada peniaga kecil di kawasan perumahan sekitarnya, kata penduduk Bernard Tan.

“Hutan ini bukan saja tempat mendaki tetapi ia membantu merangsang ekonomi tempatan di sekitar kawasan ini.

“Orang ramai di sekitar Lembah Klang datang ke sini untuk mendaki dan menyebabkan banyak restoran serta kedai dibuka di kawasan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tan dan penduduk lain berkata pihak berkuasa sepatutnya mengesahkan kawasan itu sebagai hutan simpan kekal, memandangkan Malaysia sudah kehilangan banyak hutan kerana pembalakan dan pembersihan hutan.

“Ini contoh terbaik kenapa Malaysia tidak dijemput ke persidangan iklim,” katanya, merujuk kepada persidangan pemimpin dunia secara maya berkenaan perubahan iklim, dianjurkan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, bulan ini.

Sementara itu negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam mendapat jemputan. Keadaan itu mencetuskan kritikan terhadap Putrajaya kerana kurang mengambil tindakan terhadap isu perubahan iklim.

Sebahagian besar SACF dalam tanah negeri, dengan kira-kira 30% milik kerajaan negeri Selangor dan 70% milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pelan untuk cadangan pembinaan jalan menerusi hutan itu bagi menghubungkan antara Setia Alam ke Seksyen U10, ada dalam Draf Pelan Tempatan Shah Alam 2035.

Seorang lagi penduduk yang juga pendaki Fariz Khalid, 37, berkata beliau tidak boleh terima jika SAFC akan dimusnahkan.

“Kita tidak boleh terus-terusan membersihkan hutan, menggantikan ia dengan hutan batu, kerana ia sangat tidak mampan.

“Saya pindah ke kawasan ini dulu pun supaya anak saya dapat menikmati kehijauan yang ada di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Chandra, 49, menyifatkan pelan pihak berkuasa itu sebagai sesuatu yang memalukan.

“Seumur hidup kita disuruh jaga alam semula jadi dan sekarang mereka mahu memusnahkan hutan ini dan bina hutan batu lagi.

“Negara kita sudah penuh dengan bangunan pencakar langit dan satu lagi pembangunan seperti ini tidak akan membantu negara ini dalam apa cara sekali pun,” kata Chandra. – 23 April, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan