Tiada alasan diberi untuk tamatkan pajakan, kata bekas presiden alumni
Iklan
TIDAK ada alasan yang diberikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk tidak memperbaharui pajakan tanah Sekolah Convent Bukit Nenas (CBN) yang ikonik, kata bekas presiden alumni.
Tengku Nurul Azian memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka hanya diberitahu mengenai alasan penolakan tersebut melalui laporan media semalam.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya memberitahu sebuah portal berita dalam talian semalam bahawa tanah tersebut akan diberi semula kepada kerajaan yang seterusnya akan membolehkan sekolah itu diwartakan sebagai institusi pendidikan yang dibantu sepenuhnya oleh kerajaan.
Tengku Azian bagaimanapun berkata bahawa sekolah akan meneruskan semakan kehakimannya walaupun selepas mendapat makluman bahawa sekolah itu tidak akan dirobohkan.
“Sekolah sudah melahirkan ramai individu berjaya dan menawarkan pendidikan holistik, kuat dalam akademik dan aktiviti esktrakurikular.
“Sekolah ini juga menawarkan peluang kepada pelajar dari kumpulan sosio-ekonomi yang lebih rendah untuk menikmati pendidikan berkualiti dalam sistem sekolah awam,” katanya.
Tengku Azian berkata kerajaan seharusnya memberikan lebih banyak dana kepada sekolah-sekolah yang berkaliber seperti CBN agar lebih ramai pelajar mendapat akses pendidikan yang baik, yang sangat diperlukan untuk keperluan modal insan negara.
Mahkamah Tinggi menerima permohonan CBN untuk membuat semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan.
Permohonan itu difailkan pada 7 April atas nama Lady Superior dari Persatuan Saint Maur, entiti korporat yang mengendalikan Sekolah Convent Bukit Nanas.
Yasir disebut sebagai satu-satunya responden dalam permohonan tersebut. Menurut dokumen itu, sekolah tersebut telah menulis surat kepada Pejabat Tanah dan Galian pada 4 Oktober 2017 bagi meminta lanjutan pajakan.
Sekolah tersebut menerima balasan permohonan pada 18 Disember 2020 bahawa pajakan tidak akan diperbaharui tetapi tidak ada alasan yang diberikan.
Pajakan itu akan berakhir pada 6 September.
Sekolah perempuan itu didirikan pada 1899 oleh biarawati Sisters of the Holy Infant Jesus – sebuah institusi yang didedikasikan untuk pendidikan dan latihan anak-anak kurang bernasib baik serta peningkatan kehidupan mereka – terletak di Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur.– 21 April, 2021.