Doktor muda DAP, dari kerja amal ke politik
Iklan
KETIKA Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hampir, The Malaysian Insight melihat kepada ahli politik baru dan muda yang dilatih parti mereka untuk bertanding sebagai calon. Antara kegusaran terbesar ialah kekurangan pemimpin muda, memandangkan ketua parti politik, termasuk dalam pembangkang, sudah berada dalam politik sejak 1980-an. Di mana orang muda yang akan membawa Malaysia ke depan? The Malaysian Insight menemu bual Dr Kelvin Yii dari Sarawak, seorang doktor perubatan yang memberikan bantuan kemanusiaan, dan kemudian menariknya untuk menyertai politik.
SELEPAS lapan tahun melakukan kerja kemanusiaan, Dr Kelvin Yii daripada DAP membuat keputusan untuk menyertai politik pada 2013, apabila menyedari amalan baik saja tidak akan mengubah sistem yang rosak dan negara ini memerlukan dasar yang lebih baik.
Dr Yii, 31, berkata pengalamannya sebagai pengarah NGO, Malaysian Medical Fellowship yang memberikan rawatan perubatan di kampung-kampung di Sabah dan Sarawak, membuka matanya kepada kesan tadbir urus negara yang teruk, terutama terhadap masyarakat miskin yang tidak ada akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti.
“Saya lihat dengan mata sendiri penderitaan, kemiskinan dan penindasan yang dihadapi kebanyakan rakyat Sarawak kerana dasar dan kerajaan yang teruk.
“Memang benar kami sediakan rawatan ringkas dan boleh beri mereka kelegaan sementara tetapi dasar yang terus menyebabkan mereka jadi miskin.
“Sebab itu motivasi utama saya ialah masuk politik dan cuba sebaik mungkin untuk menjadi sebahagian dalam proses membuat dasar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lahir di Kuching, Dr Yii yang kini bekerja sebagai pembantu kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen Stampin Julian Tan dana pembantu khas Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen, adalah antara wajah baharu dalam DAP yang dijangka mengisi senarai calon pada PRU14.
Beliau pernah menyertai pelbagai misi kemanusiaan sekitar Asia termasuk Myanmar, Filipina, Indonesia, Thailand, India dan juga Malaysia. Beliau juga anggota pasukan bantuan perubatan ke Filipina ketika taufan Haiyan dan di Kathmandu, Nepal ketika gempa bumi berlaku.
“Sebaik mana pun kerja amal dan kemanusiaan, perlu ada kerja tambahan di mana dasar digunakan untuk mengangkat kehidupan rakyat.
“Saya tidak merendahkan kepentingan melakukan kerja amal tetapi apabila dua bahagian itu bersatu, kita boleh dapat penyelesaian lebih holistik untuk masyarakat.
“Saya berharap dengan menyertai politik, saya dapat mempengaruhi keputusan membuat dasar atau kerajaan bagi memastikan masalah rakyat diselesaikan,” katanya.
Dr Yii yang tamat pengajian dari Volgograd State Medical University di Rusia, menjadi yang pertama dalam keluarganya menyertai pembangkang, kerana ahli keluarga lain penyokong kuat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
Beliau berkata bapanya ialah ahli seumur hidup SUPP sementara bapa saudaranya pernah bekerja untuk bekas presiden SUPP yang juga bekas menteri persekutuan Peter Chin. Dua pupunya, Adam Yii, ialah pemimpin SUPP dan juga datuk bandar Miri.
“Bapa tanya saya, ‘Adakah kamu pasti? Kamu sanggup terima akibatnya untuk menjadi pihak yang sebelah sana? Tidak akan ada faedahnya’,” katanya bercerita tentang reaksi bapanya ketika beliau menyertai DAP.
Dr Yii berkata beliau tidak mengejar kedudukan tetapi bersedia untuk bertanding dalam PRU14 jika dipilih sebagai calon.
“Minat saya untuk berkhidmat di negeri ini dan rakyatnya. Dan saya mahu menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang muda untuk menarik mereka terlibat sama. Untuk menarik mereka berjuang demi hak kami sebagai rakyat Sarawak dan mendesak tadbir urus yang baik dan bertanggungjawab.
“Jika saya dipilih, saya akan menjadi ahli Parlimen termuda di Sarawak,” katanya yang turut menyiapkan sarjana dalam undang-undang perubatan dan kini menunggu keputusan dari University of Northumbria.
Beliau menjadi ahli DAP pada 2015 tetapi membuat kerja sukarelawan dengan parti itu sejak 2013, begitu juga kerja untuk persatuan sivil.
Katanya, beliau memilih parti itu kerana ia yakin dengan pemimpin muda.
“Saya juga percaya pada ideologinya, dengan apa yang dilakukan dan konsistensi dalam memerangi rasuah.
“Isu penjagaan kesihatan dan pendidikan antara fokus saya tetapi saya juga mahu memperkasakan golongan muda.
“Mahu melihat lebih ramai golongan muda terbabit dalam proses politik, aktif dalam perbualan politik dan proses membuat dasar,” katanya, menambah fokusnya sekarang ialah berkhidmat untuk kawasan Bandar Kuching dan Stampin.
Katanya, sebagai rakyat Sarawak, beliau hanya mahukan hak negeri itu dikembalikan seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia.
“Saya akan berjuang habis-habisan untuk mengembalikan hak kita. Di Sarawak, ada banyak orang mempunyai akses terhad terhadap penjagaan kesihatan berkualiti. Saya Cuma mahukan infrastruktur asas yang sempurna disediakan di Sarawak, seperti air bersih dan jalan raya.
“Dan tentang kadar pengangguran dalam kalangan orang muda, saya akan perjuangkan dasar menyediakan persekitaran kondusif untuk rakyat Sarawak bersaing, bukan sekadar di peringkat kebangsaan tetapi harapnya hingga ke antarabangsa,” katanya. – 7 Januari, 2018.