Pemuda Pakatan bantah kerjasama dengan PAS
Iklan
KETUA Pemuda Amanah Sany Hamzan memberi amaran kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang masih mempunyai niat bekerjasama dengan parti lamanya, PAS.
Ucapan berapinya dalam Konvensyen PH itu, mendapat sokongan semua 400 perwakilan keempat-empat parti komponen gabungan pembangkang itu.
“Di hujung terowong juga kedengaran ada pimpinan yang menyatakan kami akan terus berbincang dengan PAS.
“Saya nak tanya Pemuda malam ini adakah kita akan benarkan pimpinan ini mengadakan kerjasama dengan PAS?
“Kalau tak setuju tolong bangun…hidup, hidup, hidup rakyat, tumbang, tumbang, tumbang BN,” jeritnya ketika ucapan mewakili Pemuda Amanah di Hotel Empire Subang malam tadi.
Walaupun tidak menamakan pihak yang “diserangnya” kemungkinan amaran itu ditujukan kepada beberapa pemimpin PH di Selangor.
Sany turut menekankan Pemuda Amanah sepatutnya akur, taat dan menjalankan keputusan yang dicapai hasil perbincangan konsensus oleh Majlis Presiden PH, bukan bertindak sebagai pengkhianat gabungan.
“Keputusan yang kita capai dalam Majlis Presiden, cuma terdengar di hujung terowong ada di kalangan pimpinan kita yang tidak akur, yang patah dan boleh dikatakan tidak taat atau pun mematuhi setiap keputusan yang diputuskan.
“Sebab itu Pemuda Harapan nak bagi amaran kepada pimpinan, jangan kamu jadi pengkhianat kepada PH,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menyeru agar PH memberikan lebih ruang kepada pemimpin muda.
Beliau mengemukakan dua permintaan iaitu wakil pemuda dari setiap parti bersama di Majlis Presiden PH dan menuntut agar 30% calon untuk PRU14 diisi oleh golongan pemuda.
Beliau berkata ketika zaman kegemilangan Umno pada 1980-an, gandingan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohammad dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim banyak menampilkan pemimpin berusia 30-an untuk menerajui kepimpinan parti dan negara.
“Dalam Majlis Presiden PH tak betul kalau hanya ada seorang saja pemuda dicalonkan dimasukkan oleh satu parti. Sepatutnya semua parti ada wakil anak muda.
“Kita mahu minimum 30% calon kena datang dari anak muda. Wanita juga. Tak boleh dikecualikan,” katanya. – 7 Januari, 2018.