Cakap kosong orang politik
Iklan
CAKAP memang senang.
Dan memang sangat senang bercakap apabila datang musim pilihan raya. Lihat apa yang dikatakan oleh Presiden MCA Liow Tiong Lai semalam. Kata beliau, pemimpin partinya selama ini bersuara menentang rasuah dan salah guna kuasa.
Kata kuncinya ialah bersuara. Liow dan pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain selalu bermain kata, dan hanya itu saja.
Boleh Liow tunjukkan kepada kita bukti yang beliau menegur Najib Razak atau pemimpin Umno dalam masalah 1MDB? Adakah beliau menerima pandangan pemimpin Umno bahawa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat buat kerja sia-sia menyiasat berbilion dolar yang dikaut dari 1MDB?
Bolehkan beliau atau Presiden Gerakan Mah Siew Keong tunjukkan contoh bila masanya pemimpin parti mereka bukan hanya cakap kosong apabila berdepan dengan rasuah atau salah guna kuasa.
Lebih baik kita jujur saja. Malaysia ini bertalu-talu dihempap skandal, kontrak yang menggelembung, songlap dan tipu muslihat sepanjang tiga dekad lalu.
Dan selama itu, pemimpin politik dari parti-parti komponen BN rela hati ikut bersekongkol dalam semua salah laku tersebut. Kita katakan rela hati kerana apabila seseorang itu selama ini hanya bercakap saja, secara tidak langsung dia pejam sebelah mata kepada penjenayah dan pesalah terlibat.
Ada kalanya parti-parti komponen itu bukan hanya duduk di tepi saja. Ingat lagi skandal dana pelaburan? Ingat lagi skandal Pan-El? Ingat lagi skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang?
Kalau Malaysia ini di ambang jadi sebuah negara teokrasi atau sebuah negara yang terbelah pada garis kaum dan agama, sejauh mana boleh kita salahkan MCA dan parti-parti komponen BN yang lain?
Bukankah selama ini mereka melaung-laungkan kepada warga bukan Melayu dan bukan Muslim bahawa mereka mewakili kepentingan kelompok ini dalam kerajaan yang ditunjangi oleh Umno?
Liow dan Mah akan menjelajah negara untuk menunjukkan perpaduan mereka yang baru terjalin dan kononnya memaklumkan kepada rakyat Malaysia prinsip-prinsip yang mendasari BN.
Masalahnya begini: Rakyat Malaysia tidak perlu diajar tentang bagaimana BN yang diterajui oleh Umno beroperasi.
Kami sangat memahami landskap politik ini. Umno yang berkuasa dan yang lain-lain itu cakap kosong saja.
Cakap memang senang. – 7 Januari, 2018.