Iklan

Harga bahan binaan naik punca projek lambat siap, kata pemegang taruh

Khoo Gek San4 years ago24th Apr 2021Berita
Johor iskandar water front danga bay 14
PPemain industri menggesa kerajaan untuk campur tangan bagi menstabilkan semula harga bahan binaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2021.
Iklan

KENAIKAN harga bahan binaan menyebabkan projek-projek binaan tertangguh, kata syarikat pembinaan.

Harga bahan binaan naik disebabkan pandemik Covid-19, sekali gus menyebabkan kontraktor mengalami masalah aliran tunai dan memaksa mereka menangguhkan pelaksanaan projek.

Pemain industri menggesa kerajaan untuk campur tangan bagi menstabilkan semula harga.

Pengarah Pembinaan Mitrajaya Sdn Bhd Foo Chek Lee berkata bahan seperti besi, paip PVC dan jeruji besi selain aluminium dan wayar mengalami kenaikan harga.

“Harga jeruji besi kini meningkat kepada RM3,000 hingga RM3,200 setan bergantung kepada saiz berbanding RM2,100 setan sebelum ini.

“Bagi paip PVC, berlaku kenaikan 30% pada awal tahun ini,” katanya.

“Kontraktor yang mengemukakan tender dan diberikan projek kini menderita. Ada kontraktor terutamanya yang kecil, tidak boleh menanggung kos dan mereka terpaksa sama ada menangguhkan atau membatalkan projek akibat kekurangan wang.”

Beliau berkata bagi tender akan datang, kontraktor akan memberikan harga kos bahan yang lebih tinggi bagi menampung kenaikan harga yang tidak menentu.

“Jadi kos projek akan meningkat kerana tiada pihak mahu kerugian wang,” kata Foo.

Beliau berkata amat penting untuk menstabilkan harga kerana ia membolehkan kontraktor menyediakan sebut harga yang adil apabila mengemukakan tender.

Foo berkata kerajaan perlu menilai semula harga pelbagai bahan binaan bagi projek awam dan swasta.

Hal ini boleh diselesaikan dengan menetapkan harga tetap kepada bahan import dan kontraktor perlu diberi pampasan jika berlaku kenaikan lebih 5%.

“Jika harga bahan binaan jatuh lebih 5%, kos perlu ditolak daripada kontraktor.”

Beliau berkata kerajaan juga perlu menilai semula keputusan untuk mewujudkan pasaran bebas.

Pengerusi Persatuan Pengedar Bahan-bahan Binaan Malaysia (BMDAM) Bill Lee berkata harga bahan binaan bukan ditentukan oleh pengedar.

Menurutnya, lonjakan harga mungkin disebabkan oleh kos pengangkutan dan harga bahan mentah global seperti komoditi.

“Sebagai pengedar, kami adalah orang tengah atau peniaga dalam pembinaan. Oleh itu, kami merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan tetapi pada dasarnya tidak mengawal harga bahan binaan,” kata Lee. – 24 April, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan