Iklan

Kumpulan sukarelawan baharu bawa doktor, ubat untuk pelarian

Elill Easwaran4 years ago26th Apr 2021Berita
Doctor on ground april 22, 2021 tmi afif 006
Doktor sukarelawan daripada Doctors On Ground memberikan khidmat rawatan percuma kepada masyarakat pelarian Rohingya di Batu Caves, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 26 April, 2021.
Iklan

SATU kumpulan sukarelawan baharu – Doctors On Ground (DnG) – kini menghulur bantuan kepada komuniti pelarian di Malaysia dengan menyediakan akses lebih baik untuk perkhidmatan perubatan.

Baru saja ditubuhkan awal bulan ini oleh Dr Syazana Ali dan pelajar undang-undang yang juga aktivis Arissa Jemaima, kebanyakan pelarian yang dibantu ialah dalam kalangan masyarakat Rohingya.

Pada Khamis lalu, DnG mengadakan kem kesihatan pertamanya di premis satu lagi kumpulan sukarelawan Women for Refugee (WFR) di Batu Caves, Selangor. Arissa juga pengasas bersama WFR.

Lokasi itu terletak di kawasan rumah kedai, penuh dengan pelarian, ketika Syazana dengan bantuan beberapa pelajar perubatan tahun akhir, mula merawat pesakit.

Pada tengah hari ketika selesai tugas, mereka dapat merawat kira-kira 40 pesakit, dengan kebanyakannya berdepan masalah ketika hamil dan tekanan darah tinggi.

“Sebahagian daripada perkhidmatan saya sebagai doktor ialah membantu mereka yang memerlukan di sana. Itu sebabnya kami tubuhkan DnG.

“Masa belajar dulu, saya buat kerja khidmat masyarakat selama enam bulan di sebuah kampung kecil di Indonesia dan pengalaman itu benar-benar membuka mata saya.

“Saya sedar ramai orang di luar sana yang tidak dapat penjagaan kesihatan asas,” kata Syazana, 31, yang bertugas di Hospital Shah Alam.

Beliau juga sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana untuk jadi pakar perubatan keluarga.

Katanya, DnG bercadang untuk menawarkan rundingan rawatan secara percuma sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan bagi masyarakat pelarian. Pada masa ini tumpuan diberikan kepada 80 keluarga Rohingya di Selayang.

Syazana berkata kerja mereka penting kerana ia membantu menyelamatkan nyawa pesakit.

“Contohnya, salah seorang pesakit saya yang sedang hamil, jika dia tidak datang beritahu masalah, dia mungkin bersalin di rumah dan mati.

“Saya berikan konsultasi dan membantunya mendapatkan wang dan rawatan lebih baik di hospital,” katanya.

Beliau berkata DnG tidak berminat untuk mendapatkan jumlah orang ramai tetapi lebih suka memberikan segalanya yang mereka mampu untuk sekumpulan kecil pesakit.

Memandangkan DnG masih terlalu baru, katanya ia akan terus bergantung kepada pihak lain untuk membantu mereka mengendalikan pesakit.

DnG mendapat bantuan daripada Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), yang menyediakan ujian saringan HIV secara percuma, kondom dan pil perancang.

“Jadi jika pesakit datang kepada saya ada masalah berkenaan, saya akan rujuk mereka kepada FRHAM.”

Katanya, beliau akan mendapatkan bantuan kira-kira enam doktor sukarelawan untuk memundahkan proses rawatan, secepat mungkin. – 26 April, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan