Rakyat Malaysia perlu bersama maju ke hadapan, kata Kit Siang
Iklan
RAKYAT Malaysia perlu menetapkan semula dasar negara dan menangani masalah dihadapi negara, kata pendokong DAP Lim Kit Siang pada majlis pelancaran naskhah memperingati 55 tahun beliau dalam arena politik.
“Dalam beberapa dekad ini, kita nampak alasan dan kegagalan tapi kita perlu berani bermimpi untuk generasi masa hadapan teruskan perjuangan ini,” kata Lim hari ini di Theater Impian di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Setiap rakyat Malaysia mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang di seluruh dunia, namun di tanah air sendiri, masih kekal buntu, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri berusia 80 tahun itu.
Beliau menyebut seniman kontemporari Malaysia Red Hong Yi yang mereka bentuk muka hadapan majalah Time terbaharu dan juga Lee Zii Jia yang memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England.
Naskhah “A Malaysian Artists’ Visual Biography of Lim Kit Siang” adalah buku mewah dipenuhi karya seni mempamerkan perjalanan ahli politik veteran itu, diterbitkan ahli Parlimen Damansara dan ketua publisiti DAP, Tony Pua.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Kit Siang, bapanya, berhadapan “raksasa” dalam setiap dekad hidupnya dan berjaya mengalahkan mereka satu persatu.
“Beliau (Kit Siang) sentiasa dapat sesuaikan diri.
“Beliau seorang yang tidak mudah berputus asa dan akan buat apa sahaja untuk mencapai sesuatu,” kata ahli Parlimen Bagan itu.
Pua, penerbit naskhah itu berkata, kandungannya memperingati perjuangan, pengorbanan dan kejayaan lelaki yang telah mengabdikan 55 tahun hidupnya dalam politik Malaysia dalam usaha mencapai Impian Rakyat Malaysia.
“Buku mewah penuh warna ini mempamerkan 100 karya seni oleh 80 seniman terkenal Malaysia yang meraikan kehidupan Kit Siang.
“Dengan naskhah ini, orang muda akan diingatkan tentang perjuangan Kit Siang selama penglibatannya dalam politik.
“Ia bukan sekadar perjalanan Kit Siang tetapi perjalanan Malaysia. Sejak merdeka, beliau adalah sebahagian dari itu dan dari segi keharmonian kaum, keadilan dan suasana demokratik, beliau juga selalu menjadi sebahagian dari itu.
“Itulah sebabnya saya rasa sangat penting untuk tahu bagaimana kita sampai ke tahap ini,” katanya, menambah generasi muda dapat belajar dari semangat juang Kit Siang.
Baru-baru ini, sempena ulang tahun ke-80 Kit Siang, sebuah pameran seni mengenai perjalanan politiknya turut diadakan.
80 seniman tempatan menyumbang 100 karya seni untuk “projek Siang” yang dimulakan oleh Theater Impian, sebuah galeri seni visual, untuk memperingati ulang tahunnya.
Galeri dua tingkat ini dipenuhi karya seni dari semua jenis seniman tempatan. Ada yang menggunakan barang kitar semula untuk menghasilkan potret, ada juga melukis kejadian penting dalam kehidupan Kit Siang. – 25 April, 2021.