12 kluster baharu Covid-19, 4 melibatkan tempat kerja
Iklan
KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 12 kluster baharu Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata empat kluster melibatkan tempat kerja dan kluster komuniti manakala dua lagi kluster dari sektor pendidikan termasuk satu kluster di sebuah institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.
Dua lagi kluster melibatkan perhimpunan agama dan pusat tahanan.
Tiga kluster masing-masing dikesan di Johor dan Sarawak, dua di Melaka dan Pulau Pinang, manakala Selangor dan Kelantan masing-masing satu kluster.
Kata Dr Noor Hisham, daripada 12 kluster hari ini, kluster Jalan Raja Bukit Pasir di Muar, Johor melaporkan jumlah kes positif tertinggi sebanyak 151.
Kluster kilang ini melaporkan kes positif pada 23 April setelah ujian Covid-19 dibuat terhadap 306 individu.
Sementara itu, kluster kedua tertinggi adalah Jalan Sebauh di Sebauh dan Bintulu di Sarawak yang melaporkan 67 kes setakat hari ini. Kluster komuniti ini dilaporkan setelah ujian saringan komuniti bersasar dibuat terhadap 318 individu di daerah tersebut.
Kluster ketiga tertinggi adalah Kampung Batu Sembilan, di Kuala Langat, Selangor. Juga merupakan kluster kilang, ia melaporkan 52 kes positif setakat ini.
Dengan kluster baharu hari ini, kini terdapat 358 kluster aktif di seluruh negara. – 26 April, 2021.