Dedah jenaka rogol untuk perbetul keadaan, kata bapa pelajar
Iklan
JENAKA rogol yang dibuat seorang guru lelaki didedahkan untuk memperbetulkan keadaan dan bukan untuk menghukum sekolah, kata bapa kepada pelajar yang membuat pendedahan tersebut.
Lelaki tersebut, Saiful Nizam Ab Wahab berkata, begitu juga dengan ugutan oleh pelajar lelaki yang dilakukan ke atas anaknya Ain Hasniza selepas mendedahkan kelakuan guru terbabit.
“Ain masih mahu bersekolah di situ kerana tindakannya bukanlah untuk menghukum pihak sekolah tapi untuk membetulkan keadaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Saiful berkata, beliau menyokong penuh tindakan anak perempuannya dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat umum jenaka rogol yang dibuat guru lelaki itu.
Tindakan anak perempuannya tidak bertujuan untuk menggambarkan guru sebagai musuh, tetapi untuk memperbaiki sistem agar kejadian yang sama tidak akan terjadi pada orang lain, katanya
“Isu ini telah dapat perhatian dari pelbagai pihak dan peringkat. Semoga ia jadi satu lagi titik perubahan kepada kualiti pendidikan kita serta masyarakat yang sedang dibentuk untuk masa hadapan.
Tambahnya beliau membuat satu lagi laporan polis berhubung ugutan oleh pelajar lelaki tersebut yang diterima oleh anaknya.
“Malam semalam satu lagi laporan polis sudah dibuat berhubung ugutan rogol yang diterima daripada rakan sekolah Ain itu.
“Anak perempuan saya tidak ke sekolah hari ni atas nasihat beberapa pihak.
Kes tersebut mendapat perhatian apabila anaknya Ain mendedahkan di TikTok bahawa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.
Menurut Ain, guru tersebut membuat jenaka berkenaan sewaktu para pelajar membincangkan gangguan seksual sewaktu persekolahan pada hari Jumaat.
Menurutnya, gurut tersebut secara berjenaka menggalakkan pelajar-pelajarnya melakukan perbuatan merogol.
Pendedahan Ain itu disiarkan semula di Twitter dengan tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace yang kemudian menimbulkan kemarahan meluas di media sosial.
Ekoran pendedahan tersebut, pelajar lelaki di sekolahnya kemudian didakwa mengugutnya di Twitter dan menuduh beliau cuba mencemarkan nama sekolah.
Ain bagaimanapun menyebut, tindakan pelajar lelaki berkenaan menyebabkan beliau lebih bersemangat untuk mendedahkan perkara terbabit.
“Pelajar lelaki seperti dia adalah alasan mengapa saya terus berjuang, guru yang terus-menerus menjangkiti pemikiran seperti itu kepada remaja lelaki perlu dibersihkan dari sistem pendidikan kita,” tambahnya melalui Twitter.
Mengulas lanjut, Saiful Nizam berkata akan berjumpa dengan pegawai penyiasat malam ini bagi berbincang mengenai tindakan susulan.
“Setakat ini saya belum menerima apa-apa maklumat mengenai tindakan ke atas guru atau pelajar lelaki itu.
Beliau juga menolak tuduhan bahawa anaknya Ain menimbulkan dakwaan terbabit kerana mengalami masalah.
“Tetapi kini mereka menyebar khabar angin yang Ain adalah pelajar bermasalah, mengalami trauma dan masalah dalaman. Itu adalah bohong semata-mata, Ain adalah pelajar cemerlang di sekolah berkenaan,” kata Saiful.
Semalam, Saiful turut menyiarkan kenyataan di Facebook mengenai ancaman rogol yang diterima anak perempuannya dan akan membuat laporan polis berasingan mengenai perkara ini.
Laporan awal yang dibuat olehnya pada Sabtu mengenai jenaka rogol yang didakwa dibuat oleh guru lelaki itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani mengesahkan menerima dua laporan polis daripada pelajar perempuan itu berhubung dakwaan gurauan guru sekolah
Menurutnya, laporan itu masing-masing berkaitan pendekatan guru itu tidak sesuai dan gurauan daripada rakan sekelas yang tidak boleh diterima berkaitan ugutan merogol.
“Kedua-dua laporan itu disatukan dan kita telah mengambil keterangan daripada guru sekolah dan pengadu.
“Sekarang ini, kita sedang giat mengambil rakaman percakapan rakan sekelasnya sebagai keterangan tambahan dan sokongan untuk dikemukan kepada jabatan peguam negara,” katanya. – 26 April, 2021.