Petani terpaksa kurangkan pengeluaran kerana kurang tenaga kerja asing
Iklan
TERDAPAT kekurangan tenaga kerja yang serius dalam industri pertanian dan penanaman bunga yang mungkin mengakibatkan sektor ini mengalami kerugian berbilion-bilion ringgit jika tidak segera ditangani, kata petani.
Mereka berkata terdapat kekurangan 30,000 pekerja ladang di seluruh negara sementara di Cameron Highlands sahaja, petani di sana kekurangan 8,000 pekerja.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa walaupun tindakan kerajaan melanjutkan selama setahun untuk permit kerja sementara bagi pekerja asing melegakan, namun itu bukan penyelesaian jangka panjang.
Kerajaan baru-baru ini membenarkan lanjutan setahun permit kerja sementara untuk pekerja asing.
Di bawah penguatkuasaan ini pekerjaa asing yang menggunakan permit kerja 10 tahun dan pas kerja sementara selama tiga tahun boleh bekerja selama setahun lagi.
Petani berkata pekerja asing juga meminta lebih banyak gaji dari gaji minimum kerana beban kerja yang berat.
Sebilangan besar pekerja asing menggunakan ladang mereka sebagai batu loncatan untuk memasuki kilang bagi mendapatkan gaji lebih tinggi.
Mereka memberi amaran bahawa tanpa penduduk tempatan yang berminat untuk memilih bekerja di ladang, dan pekerja asing memilih untuk bekerja di sektor lain, kekurangan tenaga kerja di sektor pertanian dapat mempengaruhi bekalan makanan dalam negeri.
Pengerusi Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Lim Ser Kwee berkata persatuan sudah menyerahkan memorandum kepada kerajaan bahawa petani sayur memerlukan 30,000 pekerja asing di seluruh negara.
Katanya pekerja Indonesia yang kembali ke negara mereka tahun lalu untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri belum pulang ke Malaysia kerana sempadan masih ditutup.
Beberapa permit pekerja asing juga sudah tamat dan ini menyebabkan mereka hilang tenaga kerja sebanyak 30% di sektor pertanian.
“Pada masa ini pekerja asing masih meminta untuk kembali ke negara mereka. Mereka juga menunggu untuk menyertai sektor lain di mana gaji lebih tinggi.
“Ketika kerajaan membuka lebih banyak sektor, pekerja asing akan menggunakan pertanian untuk memasuki industri lain dengan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.
“Bayaran permohonan industri pertanian untuk pekerja asing adalah yang terendah di antara banyak ladang kira-kira RM5,000. Ramai pekerja asing melarikan diri selepas bekerja selama sebulan.
“Petani kecil yang memohon pekerja asing membuang banyak duit selepas mendapat pekerja asing yang teruk,” katanya.
Beliau menambah bahawa pekerja di ladang ini tidak mahu terdedah kepada cahaya matahari dan hujan serta lebih suka bekerja di kilang dan restoran.
Lim mencadangkan kerajaan menyenarai hitam pekerja asing yang “melarikan diri” ini atau membuat undang-undang untuk mengawalnya kerana jika tidak, ia hanya akan merugikan petani kecil.
Katanya, pekerja asing yang bekerja di industri perladangan boleh menerima gaji lebih dari RM2,000 tetapi pada awalnya mereka hanya dibayar antara RM1,500 hingga RM1,600.
Beliau berkata bahawa tanah pertanian di Malaysia tidak rata, tidak seperti padang rumput besar di negara asing.
Penanaman sayur juga berbeza dengan sawah dan tidak dapat dilakukan menggunakan mesin.
“Kami berharap agar kerajaan membenarkan pekerja asing masuk ke negara ini kerana kita tidak memiliki pekerja yang cukup bagi memenuhi permintaan sektor perladangan. Jika tidak, kita tidak hanya akan kehilangan RM10 bilion tetapi mengalami kerugian yang lebih tinggi,” katanya. – 28 April, 2021.
Berita penuh di sini.