Iklan

Bimbang diskriminasi, pelarian takut dapatkan rawatan di hospital awam

Elill Easwaran4 years ago29th Apr 2021Berita
Doctor on ground april 22, 2021 tmi afif 006
DnG menawarkan pemeriksaan perubatan dan rundingan percuma mengenai topik yang berkaitan pendidikan seks semasa Kelas Komuniti Wanita, di Batu Caves. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 April, 2021.
Iklan

PENGALAMAN buruk berdepan diskriminasi di hospital awam menyebabkan pelarian enggan mendapatkan rawatan, kata seorang pekerja bantuan dan kalangan komuniti itu sendiri yang berada di sini.

Pengasas Wanita untuk Pelarian (WFR) Arissa Jemaima berkata beliau mengetahui sekurang-kurangnya 30 akaun pelarian yang memberitahunya bagaimana mereka mengalami diskriminasi di hospital kerana statusnya.

Sering kali, beliau berkata pelarian memberitahunya walaupun doktor akan merawat mereka, ada beberapa jururawat yang biadab dan kasar.

“Jika vaksinasi untuk pelarian dilakukan di hospital, saya meramalkan banyak pelarian tidak ingin pergi,” kata Arissa, 24.

Beliau berkata layanan terhadap pelarian berpunca daripada hakikat yang kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf mereka dengan status undang-undang.

“Inilah yang membuat beberapa doktor dan jururawat di hospital tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika pelarian datang.

“Kita tidak boleh menyalahkan jururawat atau doktor jika mereka tidak tahu bagaimana menangani pelarian,” kata Arissa, sambil menamba kerajaan harus menyediakan kerangka yang lebih baik untuk mempermudahkan proses pelarian mendapatkan rawatan di hospital awam.

Walaupun pelarian tidak diiktiraf oleh kerajaan di sini, mereka yang mempunyai kad UNHCR boleh menerima subsidi sebanyak 50% bagi bil hospital.

Siti, pelarian berusia 44 tahun dari Myanmar, berkata kepada The Malaysian Insight yang beliau berasa didiskriminasi ketika membuat bayaran rawatan.

Beliau pernah diminta meletakkan deposit sebanyak RM2,000 di hospital tertentu dan diberitahu ia bagi mengelakkannya melarikan diri tanpa membayar selepas menerima rawatan.

Memandangkan beliau tidak mempunyai wang, beliau pergi ke hospital lain dan terpaksa membayar beberapa ratus ringgit dengan alasan yang sama.

Siti juga berkata beliau turut dimarahi kerana tidak fasih berbahasa Malaysia.

“Bahasa Malaysia saya tidak begitu lancar. Pernah ada seorang jururawat menyoal saya (dengan kasar) dan memarahi kerana tidak dapat bercakap dengan lancar walaupun saya sudah lama tinggal di sini,” katanya.

Apabila beliau melahirkan anak dan sedang menahan kesakitan semasa ingin bersalin, Siti berkata jururawat memarahinya kerana menjerit dan memberi kata-kata sarkastik kepadanya seperti “Kamu gembira ketika kahwin tetapi sekarang kamu menjerit kesakitan”.

Arissa daripada WFR berkata pelarian menerima layanan seperti itu sama ada ketika mendapatkan rawatan ringan seperti migrain atau bersalin.

“Inilah sebabnya mengapa organisasi saya mula bekerjasama dengan Doctors On Ground (DnG), sebuah NGO yang memberikan perkhidmatan perubatan yang lebih baik kepada masyarakat yang rentan,” katanya.

Seorang lain pelarian dari Myanmar, Maria, 38, berkata semasa beliau bersalin di sebuah hospital, beliau diberitahu oleh jururawat bahawa lebih baik jika beliau melahirkan bayinya di rumah.

“Saya tahu kami orang luar dan keutamaan mereka adalah untuk membantu penduduk tempatan tetapi saya harap mereka dapat melihat kami sebagai manusia yang sama,” katanya.

Sebahagian besar pelarian tidak tahu mengenai rancangan vaksinasi kerajaan Covid-19 untuk kumpulan ini. – Gambar fail  The Malaysian Insight, 29 April, 2021.

Pekerja restoran, Rashidah, 46, juga dari Myanmar berkata beliau pernah menemani rakannya yang sedang hamil ke hospital dan terpaksa menunggu walaupun rakannya mengalami sakit bersalin.

“Mereka menyuruh kami duduk dan menunggu walaupun rakan saya menjerit kesakitan

“Saya sudah takut pergi ke hospital kerana jumlah kes Covid-19 tetapi dengan diskriminasi yang berlaku, menyebabkan saya lebih takut untuk pergi,” kata Rashidah.

Seorang lagi aktivis pelarian, Chow Shenn Kuan berkata organisasinya, Kakak, berusaha memastikan pelarian yang memerlukan rawatan di hospital ditemani oleh seorang sukarelawan.

“Ini untuk memastikan proses akses kepada penjagaan kesihatan berjalan lancar. Sukarelawan boleh membantu mengatasi komunikasi antara pegawai kesihatan dan pelarian serta untuk membina kepercayaan, kerana secara umumnya pelarian masih takut kemungkinan ditahan,” katanya.

Chow menambah banyak pelarian ketika ini menghadapi masalah kesihatan mental kerana sukar mendapatkan peluang memperoleh pendapatan dan kerana trauma pada masa lalu.

Kumpulan masyarakat sivil yang bekerja dengan pelarian berkata mereka masih tidak tahu mengenai rancangan vaksinasi kerajaan Covid-19 untuk kumpulan ini.

Mereka berkata komuniti pelarian juga takut ditahan oleh pihak berkuasa walaupun kerajaan berjanji tidak berbuat demikian.

Pada Februari, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pendatang tanpa dokumen tidak akan ditahan apabila datang untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Beliau berkata kerajaan akan menghubungi kedutaan asing, organisasi antarabangsa dan masyarakat sivil untuk membantu menggalakkan pendatang tanpa dokumen untuk divaksinasi.

Khairy, yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata kerajaan mesti membina kepercayaan dengan komuniti pelarian sehingga mereka juga akan tampil dengan rela untuk divaksinasi.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, pada akhir Januari terdapat kira-kira 178,710 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan agensi di Malaysia. – 29 April, 2021.

Iklan
Iklan