Iklan

Ibu bapa, guru sambut baik keputusan mansuh UPSR

Radzi jidin 280421 tmiseth 05
Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin semalam umum peperiksaan UPSR dimasuhkan mulai tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 April, 2021.
Iklan

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini disambut baik persatuan ibu bapa dan guru.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Harry Tan Huat Hock memberitahu The Malaysian Insight, usul supaya memansuhkan peperiksaan UPSR sudah dikemukakan sejak lima tahun yang lalu.

Pengumuman KPM semalam katanya merupakan keputusan terbaik untuk pendidikan peringkat sekolah rendah kerana UPSR hanya menekankan murid mendapat ‘A’ sehingga mengabaikan aspek pendidikan lain.

“Seluruh sistem pendidikan hanya mengutamakan kecemerlangan dalam UPSR. Tetapi mengabaikan pendidikan jasmani, seni dan muzik.

“Mengambil contoh negara-negara yang berjaya dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), mereka mengecualikan peperiksaan awam kepada murid sekolah rendah, misalnya Singapura,” kata Tan.

Beliau menjelaskan, selain pencapaian akademik, pendidikan yang sihat merangkumi perkembangan sosial, emosi dan fizikal murid.

Menurut Tan lagi, murid tidak seharusnya menghadapi masalah naik ke Tingkatan 1 dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) iaitu asas yang perlu mereka kuasai.

“Kami hanya membantah UPSR sebagai peperiksaan awam kerana hanya memberi terlalu sedikit manfaat kepada murid.

“Guru masih akan menggunakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan dan akhir tahun, kerja kursus, kuiz dan segala macam jenis penilaian untuk menilai sejauh mana pencapaian murid.”

Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin semalam umum UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini.

Selaras dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran juga dimansuhkan, katanya.

Susulan itu juga, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk 2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Radzi juga memaklumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan. 

KPM katanya mengambil keputusan untuk membatalkan peperiksaan itu tahun ini selepas mengambil kira masa pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka di sekolah berikutan penularan Covid-19. – 29 April, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan