Iklan

Najib,1MDB punca negara sukar tangani krisis Covid-19, kata Mukhriz

Aminah Farid4 years ago29th Apr 2021Berita
Najib tmikamal 02
Najib Razak mengkritik Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung keluhan mengenai hutang 1MDB yang dikatakan antara punca kerajaan terpaksa menggunakan dana KWAN dalam memerangi pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2021.
Iklan

BEKAS perdana menteri Najib Razak dan ‘konco pencurinya’ bertanggungjawab ke atas situasi kewangan negara yang meruncing ketika ini, kata Mukhriz Mahathir.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata disebabkan “penjarahan” 1MDB, kerajaan terpaksa menambah hutang dengan meminjam atau menggunakan dana simpanan negara.

Katanya jika bukan disebabkan skandal 1MDB, kerajaan tidak berdepan masalah untuk membiaya kos vaksin.

“Najib Razak dan konconya perlu dipersalahkan. 

“Namun beliau (Najib) begitu lancang mencadangkan wang yang diperoleh daripada pelbagai pihak yang kononnya benefisiari 1MDB sepatutnya cukup untuk melunaskan hutang itu,” katanya dalam kenyataan.

Mukhriz mengulas kritikan Najib terhadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung keluhannya mengenai hutang 1MDB yang dikatakan antara punca kerajaan terpaksa menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dalam memerangi pandemik Covid-19.

Menurut Zafrul, hutang mnegara sudah mencapai 1 trilion termasuk liabiliti daripada skandal 1MDB yang dianggarkan berjumlah Rm41.36 bilion selain hutang SRC International yang berjumlah RM3.67 bilion.

“Pelaku di sebalik skandal mega antarabangsa ini tidak perlu berlagak seperti bermoral tinggi seolah-olah dia tidak terlibat dengan skandal penipuan ini,” kata Mukhriz yang kini bersama parti Pejuang.

Mukhriz juga mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan dana simpanan negara sebanyak RM5 bilion walaupun sebanyak RM600 bilion telah diluluskan sebelum ini.

“Ini tidak masuk akal. Bagaimana kepentingan kewangan negara kita dilindungi ketika merundingkan terma mendapatkan vaksin?” kata Ahli Parlimen Jerlun itu.
 
Mukhriz turut menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya pengakuan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan semakin kehabisan wang, sedangkan mempunyai bajet persekutuan berjumlah RM322.5 bilion yang diluluskan Parlimen serta RM300 bilion lagi mengikut Ordinan Darurat.

“Kini lebih sukar untuk menguruskan gelombang Covid-19 yang berpanjangan dan menyakitkan, yang dicetuskan pilihan raya di Sabah,” katanya.

Pada 26 April, kerajaan berkata ia terpaksa berbuat demikian kerana sudah semakin kehabisan wang terutama disebabkan skandal 1MDB.
 
Pada hari yang sama, Najib berkata Pakatan Harapan atau kerajaan Perikatan Nasional tidak membayar balik sesen pun hutang pokok 1MDB berjumlah RM32.3 bilion walaupun kerajaan telah menerima penyelesaian tunai berjumlah RM33.4 bilion.

Katanya, wang diterima kerajaan hasil bayaran balik dan penyelesaian tuntutan sepatutnya cukup untuk membayar hutang pokok 1MDB. – 29 April, 2021.

Iklan
Iklan