Keluarga akan saman polis, hospital kerana kematian Ganapathy, kata peguam
Iklan
KELUARGA mangsa kematian dalam jagaan Ganapathy Anpalagan, 40, akan menyaman polis dan Hospital Selayang atas tuduhan membunuh.
Peguam keluarga, Ganesh Kanagaretnam berkata, keluarga Ganapathy mahu menyaman atas tuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kematian anak lelaki mereka.
Peguam itu berkata beliau sedang menunggu siasatan diselesaikan sebelum memfailkan tindakan undang-undang.
“Pegawai penyiasat kes ini menjaminkan kami beliau akan siasat sedalam-dalamnya dan kini masih mencari petunjuk lebih lanjut,” kata Ganesh kepada The Malaysian Insight.
Katanya keluarga itu mengesyaki berlaku tipu helah dalam kematian Ganapathy pada 18 April.
Ganapathy meninggal semasa menjalani rawatan di Hospital Selayang setelah mendiang dihantar ke sana dari tahanan polis.
Mendiang ditahan pada 24 Februari untuk membantu siasatan atas tuduhan jenayah saudaranya. Beliau dikatakan berada selama 12 hari dalam tahanan polis dari 24 Februari hingga 8 Mac sebelum dimasukkan ke hospital.
Beliau meninggal dunia pada 18 April setelah menghabiskan lebih sebulan di unit rawatan rapi Hospital Selayang.
Ganesh berkata sepanjang 12 hari Ganapathy dalam tahanan polis, beliau dibawa ke hospital Selayang empat kali bagi menerima rawatan atas permintaannya sendiri.
Mendiang di bawa ke hospital pada 28 Februari, 3 Mac, 6 dan 7 Mac.
“Pada mulanya Ganapathy berkata kepada hakim kakinya sakit dan hakim mengarahkan polis membawanya ke hospital.
“Beliau berada di sana selama beberapa jam dan kemudian dibawa kembali ke tahanan polis, dan setelah dipukul lagi, beliau dibawa lagi ke hospital.
“Ini berlaku dua kali lagi,” kata peguam itu.
Beliau mendakwa hospital juga bertanggungjawab atas kegagalan doktor merawat Ganapathy.
“Hospital patut dipersalahkan dalam hal ini karena doktor sepatutnya memberitahu polis Ganapathy dalam keadaan serius dan perlu dipantau,” kata Ganesh.
Beliau berkata Ganapathy adalah pesakit diabetes dan doktor sepatutnya patut menghalang polis dari membawa mangsa kembali ke tahanan.
Tambahnya, hanya sekali sahaja keluarganya dibenarkan melawat iaitu pada hari ke-12 selepas Ganapathy ditangkap.
Pada masa itu Ganapathy berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan polis telah memberitahu keluarga mangsa dimasukkan kerana jatuh dari motosikal.
Bagaimanapun, ibunya mendakwa mangsa dipukul polis semasa dalam tahanan.
Keluarganya turut mendakwa kesihatan Ganapathy lebih teruk ketika dalam tahanan polis dan kakinya bengkak dan lebam, menunjukkan mangsa telah dipukul.
“Ganapathy ditangkap pada 24 Februari di sebuah kedai membaiki motosikal di Shah Alam di mana mangsa diberitahu untuk membantu siasatan atas tuduhan jenayah saudaranya,” kata aktivis Shankar Ganesh, 42.
Shankar, dikenali sebagai Funky Shankar, baru-baru ini mengadakan wawancara langsung dengan keluarga Ganapathy di mana ia kemudiannya tular di media sosial.
Tambahnya ramai rakyat Malaysia bersuara mengenai kematian pembunuhan George Floyd di Amerika Syarikat namun berdiam diri terhadap Ganapathy.
Polis perlu telus
Sementara itu, ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, polis perlu memberi penjelasan telus dan jelas, menambah kronologi peristiwa itu harus ditunjukkan kepada masyarakat umum tanpa selindung.
Beliau juga meminta polis mendedahkan rakaman CCTV Ganapathy dalam tahanan polis.
“Kerajaan sebelum ini meluluskan lebih RM73 juta bagi memasang CCTV di semua lokap polis pada 23 September 2019 seperti diumumkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong, tetapi apa yang terjadi dengan projek itu?
“Adakah keadaan Ganapathy akan dibongkarkan melalui rakaman CCTV lokap itu?” katanya.
Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman turut menekankan isu ini, dengan berkata perlu ada pertanggungjawaban dan ketelusan terhadap kematian itu.
“Walaupun mereka (suspek) mungkin didapati bersalah, namun mereka perlu dilayan seperti manusia biasa. Jika ia boleh berlaku kepada mereka, ia juga boleh berlaku kepada salah seorang daripada kita.
“Perlunya ada kebertanggungjawaban, ketelusan, integriti, Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), keadilan,” katanya dalam menyokong keadilan buat Ganapathy.
Badan pemantau Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (EDICT) berkata salah laku dalam tahanan perlu segera dihentikan.
“Budaya keganasan dan salah laku untuk memaksa suspek mengaku tidak sesuai jika polis menjalankan tugas dan penyiasatan mereka dengan baik dan lengkap,” katanya.
Secara keseluruhan, terdapat 257 kematian dalam tahanan polis antara tahun 2002 dan 2016, menurut statistik rasmi diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan Parlimen pada 28 Mac 2017.
Antara kematian lebih menonjol adalah seperti berikut:
> Balamurugan, 44, ditemui mati di ibu pejabat polis Klang Utara (IPD) di Selangor pada 8 Februari 2017. Mangsa ditangkap dua hari sebelum itu kerana disyaki mencuri kereta. Semasa perbicaraan reman, hakim mengarahkan polis supaya Balamurugan dihantar ke hospital tetapi mangsa dibawa kembali ke ibu pejabat polis daerah Klang Utara di mana mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 11 malam, dan dinyatakan meninggal pada jam 12.10 pagi.
> Syed Mohd Azlan, seorang pengimpal berusia 25 tahun, ditangkap pada awal pagi 3 November 2014 kerana disyaki merusuh dan memiliki senjata dua minggu sebelumnya. Mangsa didapati tidak sedarkan diri ketika hendak dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kota Tinggi pada pukul 7.15 pagi. Pada 2018, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkata anggota polis telah memukul Syed Mohd Azlan ketika dalam tahanan, menambah terdapat 61 luka di badannya selaras dengan cedera kerana mempertahankan diri.
> Kugan Ananthan, 22, dipercayai diseksa hingga mati ketika dalam tahanan polis pada 2009. Keluarganya terpaksa masuk ke bilik mayat di mana mayatnya disimpan. Kesnya kemudian diklasifikasikan sebagai pembunuhan oleh Peguam Negara, dan 11 pegawai di balai di mana mangsa meninggal dipindahkan. – 29 April, 2021.