Iklan

Bedah siasat sahkan Ganapathy meninggal dunia akibat kecederaan, kata peguam

Elill Easwaran3 years ago30th Apr 2021Berita
Ganapathy anpalagan pic-2  full  full
Mangsa kematian dalam jagaan Ganapathy Anpalagan dipercayai dipukul ketika dalam tahanan polis. – Gambar keluarga Ganapathy Anpalagan, 30 April, 2021.
Iklan

BEDAH siasat ke atas mangsa kematian dalam jagaan Ganapathy Anpalagan mengesahkan bahawa dia meninggal dunia akibat kecederaan pada kakinya yang dipercayai dipukul ketika dalam tahanan polis, kata peguam keluarga mangsa.

Peguam, Ganesh Kanagaretnam memberitahu The Malaysian Insight perkara ini didedahkan oleh doktor dari Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur semalam.

“Hadir pada taklimat berkenaan ialah pegawai penyiasat, kakak Ganapathy dan saya sendiri.

“Kematiannya kini disahkan akibat dipukul,” kata Ganesh.

Keluarga Ganapathy kini menunggu sidang media petang ini oleh Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe sebelum memutuskan untuk tindakan lanjut. 

Ganapathy meninggal semasa menjalani rawatan di Hospital Selayang setelah mendiang dihantar ke sana dari tahanan polis.

Bapa kepada dua anak ini ditahan pada 24 Februari untuk membantu siasatan atas tuduhan jenayah saudaranya. Beliau dikatakan berada selama 12 hari dalam tahanan polis dari 24 Februari hingga 8 Mac sebelum dimasukkan ke hospital.

Beliau meninggal dunia pada 18 April setelah menghabiskan lebih sebulan di unit rawatan rapi Hospital Selayang.

Ganesh berkata sepanjang 12 hari Ganapathy dalam tahanan polis, beliau dibawa ke hospital Selayang empat kali bagi menerima rawatan atas permintaannya sendiri.

Semalam peguam memberitahu The Malaysian Insight bahawa keluarga Ganapathy akan menyaman polis dan Hospital Selayang atas tuduhan kecuaian yang mengakibatkan kematian anak lelaki mereka.

Peguam itu berkata beliau sedang menunggu siasatan diselesaikan sebelum memfailkan tindakan undang-undang.

Ahli politik dan kumpulan masyarakat sivil meminta ketelusan dalam siasatan kematian Ganapathy dengan mengatakan terlalu banyak kes tahanan meninggal dunia dalam tahanan polis.

Statistik rasmi yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan Parlimen pada 28 Mac 2017 menunjukkan terdapat 257 kematian dalam tahanan polis antara tahun 2002 dan 2016. – 30 April, 2021.

Iklan
Iklan