Iklan

Acryl Sani KPN baharu

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago30th Apr 2021Berita
49931986068 9436721722 b
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani akan berkhidmat sehingga tarikh persaraan beliau pada Oktober, menggantikan Abdul Hamid Bador yang bakal bersara pada 3 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2021.
Iklan

TIMBALAN Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani sah dilantik sebagai ketua polis negara baharu berkuat kuasa Selasa.

Beliau menerima surat pelantikan yang diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam majlis khas pagi ini di Putrajaya.

Acryl akan berkhidmat sehingga tarikh persaraan beliau pada Oktober, menggantikan Abdul Hamid Bador yang bakal bersara pada 3 Mei. 

Anak kelahiran Petaling Jaya itu memegang ijazah pertama dalam Kejuruteraan Awam dan Sarjana Sains Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia.

Beliau menyertai polis pada 2 Februari 1986 sebagai kadet Asisten Superintenden Polis dan sterusnya memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Acryl Sani antara lain pernah menjadi timbalan ketua polis daerah, komandan Maktab PDRM, ketua polis Terengganu dan Perak serta pesuruhjaya polis Sarawak.

Sebelum dilantik menjadi timbalan ketua polis negara, Acryl Sani pernah mengetuai beberapa jabatan di Bukit Aman termasuk Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Beliau juga pernah mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Pendahulunya, Hamid banyak bertugas dalam unit Cawangan Khas sebelum menjadi ketua polis negara ke-12 dan meraih perhatian apabila mengkritik rundingan 1Malaysia Development Bhd.

Kritikan yang dibuat semasa Najib Razak menjadi perdana menteri itu menyaksikan Hamid dipindah keluar dari pasan polis.

Beliau kemudiannya dibawa masuk semula dan dilantik mengetuai Cawangan Khas apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018 dan seterusnya menjadi ketua polis negara.

Acryl kemudian dilantik menjadi timbalan Hamid pada 2020, menggantikan Mazlan Mansor.

Majlis serah tugas jawatan itu dijadualkan berlangsung Isnin depan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. – 30 April, 2021.

Iklan
Iklan