Ganjaran RM10,000 untuk maklumat tentang Ganapathy, kata peguam
Iklan
SESIAPA yang mempunyai maklumat tentang kematian suspek polis Ganapathy Anpalagan, 40, akan diberi ganjaran sebanyak RM10,000, kata peguam keluarga Ganesh Kanagaretnam.
“Penderma ganjaran itu tidak mahu dikenali kerana dia sendiri pernah merasai pengalaman keganasan polis.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya (+60 13 324 3354) atau pegawai siasatan,” kata peguam itu pada majlis pengkebumian Ganapathy hari ini.
Ganesh berkata beliau diberitahu forensik bahawa jika Ganapathy dibawa lebih awal untuk mendapatkan rawatan, mangsa mungkin selamat.
Beliau juga berkata ada seorang lagi lelaki dikenali sebagai Shan yang dibawa polis bersama Ganapathy tetapi tiada lagi berita tentangnya.
Ahli Parlimen Batu Prabakaran dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang Chua Wei Kuat turut hadir ke majlis itu
Ganapathy meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Selatan selepas dihantar dari pusat tahanan polis.
Dia ditahan pada 24 Februari lalu bagi membantu siasatan kes jenayah melibatkan adik beradiknya.
Dia ditahan selama 12 hari sejak 24 Februari sehingga 8 Mac sebelum dimasukkan ke hospital.
Dia meninggal dunia pada 18 April setelah menghabiskan lebih sebulan di unit rawatan intensif hospital. – 2 Mei, 2021.