Kursus tak diiktiraf, 800 pelajar bimbang masa depan
Iklan
KIRA-KIRA 800 pelajar asing dan tempatan bimbang sijil akademik mereka tidak laku dalam pasaran kerja ekoran lebih 20 kursus di sebuah universiti dalam negara tidak memperoleh perakuan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Kebimbangan itu disuarakan dua wakil pelajar Limkokwing University (LKWU) kepada DAP dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini.
The Malaysian Insight sedang menunggu maklum balas LKWU.
Dua pelajar berkenaan, Muhammad Ameer Fakhri dan Muhammed, mewakili pelajar Sarjana dan PhD universiti terbabit.
Mereka berkata banyak kursus Sarjana Muda, MBA dan Phd tidak mendapat perakuan MQA kerana universiti gagal memenuhi syarat dan standard yang ditetapkan oleh badan penarafan itu.
“Sebagai institusi pendidikan profesional, menjadi tanggungjawab LKWU memastikan kursus mendapat akreditasi. Sebaliknya, sejak beberapa tahun lalu pelajar yang terpaksa meminta penjelasan dari pihak universiti.
“Setakat ini, usaha kami tidak berhasil, malah kami hanya diberi janji-janji kosong.”
Amir Fakri berkata semasa berada dalam semester pertama Sarjana Muda Sains Komputer di LKWU, pihak universiti memintanya bertukar kepada Sarjana Muda Teknologi Pengkomputeran Awan (Cloud Computing Technology) atas alasan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Bagaimanapun, pihak universiti tidak memaklumkan bahawa program tersebut tidak mendapat akreditasi penuh MQA. – 3 Mei, 2021.