Iklan

Kemenangan Liew di Johor bakal bantu DAP pada PRU15, kata penganalisis

Khoo Gek San3 years ago4th May 2021Berita
49930330518 a910106e53 b
Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong menang pemilihan parti dan kekal sebagai pengerusi DAP Johor baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2021.
Iklan

PEMILIHAN semula pakar strategi DAP, Liew Chin Tong sebagai pengerusi parti Johor pada hujung minggu lalu bakal memberi kesan baik untuk parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu, kata penganalisis.

Liew, seorang senator yang juga bekas ahli Parlimen Kluang, mengekalkan kedudukannya sebagai pengerusi negeri dalam pemilhan parti yang sengit dan menyaksikan pasukannya menang 10 daripada 15 kerusi jawatankuasa.

Pengulas politik Phoon Wing Keong berkata sebelum PRU 2008, pengaruh DAP di semenanjung Malaysia di selatan hanya setakat Melaka.

Hanya pada 2013, di bawah strategi disusun Liew, DAP mula meluaskan pengaruhnya lebih jauh ke selatan. Liew bertanding dan menang kerusi Parlimen Kluang pada PRU tahun itu, menandakan kejayaan parti dominasi Cina itu di negeri kubuh kuat Barisan Nasional (BN).

“Pada dua PRU lalu, 2013 dan 2018, DAP Johor mencapai banyak kejayaan dan menang lebih banyak kerusi di negeri itu. Ini kelebihan Liew. Beliau mempunyai strategi pilihan raya lebih kuat berbanding lawannya (dalam parti).

“Tambahan lagi, beliau ada hubungan baik dengan kepimpinan parti pusat, pemimpin DAP kanan seperti Lim Kit Siang sokong beliau,” kata Phoon, yang juga pensyarah pengajian sains sosial di Kolej Universiti Selatan.

Bukan mudah untuk DAP menambah jumlah kerusinya di Johor.

“Kecuali ada pembahagian kawasan pilihan raya, atau Pakatan Harapan (PH) memberi lebih banyak kerusi kepada DAP, seperti kawasan Melayu, sukar DAP mendapat lebih banyak kerusi untuk ditandingi di Johor,” kata Phoon.

“Ia sudah pun mempunyai lima kerusi Parlimen dan DUN.”

Menjelang PRU14 pada 2018, Liew antara yang pertama mendesak idea untuk DAP menyerang di Johor, kerana kemenangan di situ akan menjadi kunci kepada PH menangi di kawasan lain di negara ini. Ini kerana Johor adalah kubu kuat Umno dan kemenangan DAP akan bermakna ia menggoncang sokongan yang selama ini diberikan kepada kerajaan BN pada masa itu.

DAP Berjaya mencapai keputusan yang tidak pernah diperoleh sebelum ini di Johor pada 2018, dengan menang lima kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN, tetapi Liew tewas di Ayer Hitam dengan majoriti tipis.

Phoon berpendapat Liew akan dapat membantu DAP dan keseluruhan PH dalam menyusun strategi untuk kempen peringkat nasional PRU15 atau gabungan pasca pilihan raya.

“Ia akan menguji kemahiran rundingannya, pemikiran strategik dan kemampuannya terutama terhadap persoalan sama ada DAP dan PH patut bekerjasama dengan Umno atau tidak,” kata Phoon.

Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Lau Zhe Wei berkata Liew pernah menyamakan DAP sebagai “kedai runcit” dan mengatakan parti itu kini perlu berubah untuk menjadi “pasar raya besar”.

Ini termasuk langkah DAP memasuki kawasan kerusi Melayu, kaa pensyarah sains politik itu.

“Jika mereka berjaya meraih sokongan Melayu, ia akan dapat membantu DAP maju ke peringkat lebih tinggi, termasuk membentuk kerajaan gabungan. Pengundi Melayu boleh jadi lebih menerima DAP.”

Pemilihan semula Liew sebagai pengerusi DAP Johor juga penting secara psikologi untuk negeri itu, kerana Johor adalah negeri Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Lau.

“Jika PH, terutama DAP dapat masuk ke Johor dan menang kerajaan negeri atau kebanyakan kerusi Parlimen, ia akan menjadi ancaman kepada Muhyiddin.”

Lau berpendapat DAP patut diberikan lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada PRU15. Dan ia perlu mengambil kerusi Ayer Hitam daripada Wee Ka Siong (MCA).

Lau berkata parti itu ada dua tugas penting.

“Pertama, menunjukkan kemampuan mereka mentadbir dan mengambil bahagian secara membina, tetai ia akan memerlukan kerjasama PKR dan Amanah.

“Kedua, ia perlu menangani kesan kerja keras itu untuk menembusi masyarakat Melayu, di mana ia sering berakhir dengan dianggap jahat,” kata Lau. – 4 Mei, 2021.

Iklan
Iklan