SPRM kesan lubuk kartel projek di jabatan kerajaan
Iklan
BEBERAPA agensi kerajaan lain kini dipantau untuk mengesan kegiatan kartel yang memonopoli tender, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Katanya agensi itu kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti proses perolehan projek kerajaan bagi mengesan kegiatan kartel itu.
“Kita memang memantau jabatan-jabatan lain yang kita dapat maklumat wujudnya kartel atau monopoli.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan supaya dilihat dengan lebih teliti tentang proses perolehan ini supaya isu kartel atau monopoli ini dapat diatasi,” katanya kepada pemberita,
Ketika ditanya sama ada SPRM membuat tangkapan lanjut berkaitan kes itu, Azam menyatakan perkara belum dapat didedahkan kepada umum.
SPRM setakat ini menahan 15 individu yang merupakan sindiket kartel, termasuk ketuanya berusia 47 tahun bulan lalu.
Kartel terbabit disyaki memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 billion.
Ketua sindiket berkenaan disyaki mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender di kementerian dan agensi yang terbabit.
Individu terbabit didakwa menggaji beberapa individu sebagai pengarah syarikat dan menumpukan projek penyelenggaraan kemudahan dan projek pembangunan.
Sindiket itu dipercayai mendapat kerjasama orang dalam bagi memastikan syarikat bawah kawalannya dibenarkan memasuki tender supaya syarikat dikawal mendapat projek..
Kartel itu juga didakwa membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat tender.
Hasil risikan dijalankan SPRM juga mendapati sindiket ini menggunakan nama beratus-ratus individu yang dibayar imbuhan bagi penggunaan nama serta butir peribadi mereka.
Kelayakan akademik dan profesional bagi kebanyakan penama dan juga penyata kewangan yang dikemukakan juga didapati palsu. – 4 Mei, 2021.