Hanya 2 pegawai terlibat Geng Nicky, kata SPRM
Iklan
HANYA dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didapati terlibat dengan Geng Nicky dan diserahkan kepada polis, kata pemimpin tertinggi agensi itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata tiada pegawai lain dari suruhanjaya tersebut terlibat dan siasatan kes itu juga diserahkan kepada polis.
“Saya sendiri sahkan tiada pegawai lain lagi terlibat. Bagaimanapun saya serahkan kepada polis untuk siasatan seterusnya dan setakat ini saya tidak dapat maklumat apa-apa lagi.
“Setakat yang saya tahu dua pegawai masih lagi ditahan oleh polis untuk tujuan siasatan. Sekiranya ada kes atau tidak terserah kepada polis,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata setakat ini kedua-dua pegawai terlibat masih lagi bertugas kerana kes masih dalam siasatan.
“Apabila kes ini dituduh kita akan tahan kerja mereka. Kita tunggu saja siasatan pihak polis kerana polis akan merujuk kes ini kepada peguam negara untuk pertuduhan,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua pegawai agensi berkenaan sepatutnya dituduh semalam.
Dua individu itu antara 12 pegawai penguatkuasa yang ditahan polis Johor kerana disyaki terlibat dalam melindungi kegiatan jenayah terancang Geng Nicky.
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata baki 10 individu lain merupakan pegawai kanan polis.
Katanya, dua pegawai SPRM itu terdiri daripada penolong pesuruhjaya dan penguasa yang bertugas di Putrajaya.
Geng Nicky didalangi ahli perniagaan yang kini dalam buruan Nicky Liow Soon Hee.
Operasi tersebut diteruskan sewaktu pasukan polis bergelut dengan pertembungan kuasa melibatkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Pergelutan kuasa itu diketahui umum selepas bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador mendedahkan wujud “kartel” pegawai polis yang cuba menjatuhkannya.
Menurutnya, usaha mengaibkan dan menjatuhkannya digerakkan kartel tersebut susulan tindakannya membanteras rasuah dalam pasukan berkenaan.
Seterusnya, timbul pertentangan di antara beliau dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin ekoran penangguhan saat akhir ke atas arahannya untuk menukar individu terbabit.
Arahan pertukaran itu bagaimanapun tetap dilaksanakan pada pertengahan bulan ini.
Serentak dengan itu pada 15 April, Hamid menyelar JIPS kerana menurutnya melindungi salah laku anggota dan pegawai.
Beliau memberitahu New Straits Times, tindakan jabatan itu menyebabkan siasatan sering menemui jalan buntu dan tiada tindakan diambil terhadap pegawai dan anggota yang disiasat.
Pada masa sama, polis Johor menegaskan tidak akan menyerahkan senarai nama pegawai dan anggotanya yang dipercayai bersekongkol dengan Geng Nicky, kepada JIPS.
Ayob Khan menegaskan pegawai tersebut sebaliknya akan terus didakwa di mahkamah. – 4 Mei, 2021.