SPRM siasat isu bayaran lompat parti, kata Azam Baki
Iklan
AGENSI antirasuah melihat tiada sebarang kesalahan dalam tindakan ahli politik melompat parti melainkan melibatkan pembayaran wang mana-mana pihak.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata agensi itu hanya akan menyiasat kes individu meraih sokongan dengan membayar wang.
“Yang kita siasat kebanyakan ialah mereka yang meraih sokongan dikatakan bayar wang, yang itu kita siasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.
Berkaitan isu lompat parti, tiada undang-undang yang melarang mana-mana individu berbuat demikian kerana mereka menyertai mana-mana parti politik, katanya.
“Siapa-siapa siapa pun kalau nak lompat parti boleh lompat itu hak kebebasan masing-masing, tidak ada lagi undang-undang yang melarang mana-mana pihak untuk pergi kepada parti lain.
“(Akta anti lompat parti) ini tidak wujud lagi jadi sebab itu saya tidak boleh komen sangat sebab ini bukan satu kesalahan, terdapat juga mereka yang keluar parti dan jadi bebas.
“Yang ini pun bukan satu kesalahan dari segi undang-undang negara kita,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.
Beliau mengulas gesaan Abdul Hamid Bador dalam sidang media terakhir supaya SPRM menyiasat ahli politik yang melompat parti.
Hamid percaya tindakan ahli politik bertukar parti melibatkan rasuah dalam politik, yang semakin berleluasa kerana ada ahli politik yang “mabuk kuasa”.
Dalam pendedahan itu, beliau antara lain menyebut ahli politik yang giat melakukan perjalanan ke Sabah dengan menaiki jet peribadi yang membawa kepada perubahan politik di negeri itu.
Beliau tidak menamakan sesiapa tetapi menyebut ada ahli politik yang menggunakan pesawat peribadi ke Sabah dan tidak lama selepas itu ada ahli politik yang lompat parti.
Pada akhir Julai 2020, Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan selepas sebilangan wakil rakyat melompat parti meninggalkan kerajaan Warisan.
Dalam sidang medianya minggu lalu, Hamid berkata kes itu perlu disiasat kerana disyaki melibatkan rasuah.
“Sudah lama rakyat Malaysia muak tengok… sekejap katak lompat sana, sekejap katak berbunyi sana. Apa tu? Ada unsur apa tu? Rasuah tu.
“Saya minta SPRM masuk siasat macam mana boleh wujud katak di sini, wujud katak di sana. Rimas rakyat,” tambahnya.
Hamid dalam sidang medianya turut membangkitkan campur tangan serius Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dalam pasukan polis. – 4 Mei, 2021.