Pelaksanaan Fasa 3 imunisasi Covid-19 mungkin tidak tepat masa, kata menteri
Iklan
FASA 3 program imunisasi kebangsaan mungkin tidak dapat dilaksanakan mengikut masa dirancang kerana kekurangan bekalan vaksin, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata Fasa 2 sedang berjalan dengan lancar tetapi beliau tidak pasti kelancaran untuk Fasa 3.
“Fasa 2 sedang dilaksanakan dengan baik. Fasa 3 sepatutnya bermula pada Mei tetapi saya tidak tahu sama ada kita mempunyai bekalan mencukupi. Pengumuman akan dibuat mengenai perkara itu,” katanya.
Fasa 3, membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas, sepatutnya bermula pada Mei hingga Februari 2022.
Bercakap pada sidang akhbar selepas melawat pusat vaksin PWTC hari ini, Khairy berkata pelaksanaan imunisasi Fasa 3 akan bergantung pada penghantaran vaksin.
Khairy, yang juga menteri penyelarasn Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata Putrajaya tidak berpuas hati dengan agihan vaksin kerana negara kaya dilihat seperti diberikan keutamaan.
“Syarikat farmaseutikal memberi keutamaan kepada negara kaya,” katanya.
Beliau berkata komuniti antarabangsa perlu membincangkan perkara itu dengan segera bagi pengurusan masa depan pandemik itu. – 5 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.