Pasar borong Kuala Lumpur ditutup bermula 9 Mei
Iklan
PASAR Borong Kuala Lumpur di Selayang akan ditutup selama sembilan hari bermula 9 Mei selepas 170 peniaga dan pekerja di bahagian makanan laut disahkan positif Covid-19.
Ini merupakan kali ketiga wabak berkenaan dikaitkan dengan penjual makanan laut di pasar berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock berkata terdapat 160 gerai dengan hampir 900 pekerja di pasar berkenaan.
Daripada 900, 170 didapati positif Covid-19, manakala selebihnya masih menunggu keputusan ujian saringan.
Menurutnya, mereka meminta untuk menutup perniagaan Isnin depan kerana mahu menghabiskan stok dan mengelakkan kerugian apabila pasar ditutup.
Sing memberitahu The Malaysian Insight kes positif mula menular pada 29 April, dan ujian saringan yang dijalankan sehingga 3 Mei mendapati lebih banyak kes positif, sehingga lapan atau 10 kes setiap hari.
“Apabila kami sedar situasi agak serius, kami meminta semua penjual ikan dan pekerja menjalani ujian, dan mereka yang ada kontak rapat dengan kes yang disahkan menjalani kuarantin.”
Tambahnya situasi di pasar berkenaan telah dilaporkan kepada pegawai dari Kementerian Kesihatan hari ini.
Pasar Borong Kuala Lumpur mempunyai 448 gerai dan lebih 4,000 pekerja termasuk peniaga.
Daripada jumlah itu, 168 adalah gerai makanan laut, 216 gerai sayuran dan 64 gerai menjual buah-buahan.
Wabak berkenaan menular dalam kalangan mereka yang bekerja di gerai makanan laut dan jumlah kes meningkat dalam hanya beberapa hari.
Sing berkata punca jangkitan masih belum diketahui, namun ia dipercayai berasal dari luar, dan menambah ada peniaga yang menghadiri majlis hari jadi dan makan malam.
“Bermula 22 April, kes pertama dikesan, dan kes kedua dikesan pada 23 April. Ia mungkin berpunca daripada mereka yang hadir pada majlis makan dan hari jadi. Kemudian lapan orang turut disahkan daripada gerai yang sama bermula 26 April hingga 27 April.”
Beliau menganggarkan kira-kira 30% pekerja masih belum menjalani ujian saringan dan beliau turut menasihatkan agar semua orang menjalani ujian saringan demi keselamatan mereka dan keluarga.
Ini merupakan kali ketiga wabak berkenaan menular di Pasar Borong Kuala Lumpur selepas April tahun lalu dan pertengahan Januari tahun ini. Walaupun jangkitan hanya berlaku dalam kalangan penjual ikan, risiko jangkitan terhadap penjual sayur dan buah-buahan masih tinggi. – 6 Mei, 2021.