Ibu bapa gelisah sekolah sekejap buka, sekejap tutup
Iklan
ARAHAN Kementerian Pendidikan (KPM) supaya menutup sekolah untuk dua hari apabila terdapat jangkitan Covid-19 membingungkan, kata kumpulan ibu bapa dan guru.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata langkah itu menyebabkan pembelajaran murid tergendala serta menyukarkan golongan tidak berkemampuan untuk mencari alternatif lain seperti mengambil kelas tuisyen atau bertukar ke sekolah swasta.
“Ramai ibu bapa bingung mengapa KPM arah tutup sekolah untuk dua hari, kemudian buka semula, walaupun cuma ada satu kes jangkitan sahaja.
“Sistem ini tidak bawa apa-apa penyelesaian tetapi mencetus lebih banyak kerisauan dan panik dalam kalangan ibu bapa dan guru, ” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sekolah diarah tutup mulai 9 November tahun lalu susulan peningkatan mendadak kes Covid-19. Sesi persekolahan secara bersemuka bermula semula 20 Januari tahun ini, tetapi ditunda berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Januari, namun pembelajaran diteruskan melalui kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sesi persekolahan secara semuka dibuka semula secara berperingkat mulai 1 Mac lalu bermula dengan sekolah rendah dan prasekolah, manakala sekolah menengah pada 4 April.
Tindakan KPM yang sering mengumum keputusan pada saat akhir mengundang rungutan ibu bapa dan guru, dan dilihat kurang bersedia dengan pelan jangka panjang untuk memastikan tiada penularan jangkitan di sekolah.
Lonjakan kes Covid-19 beberapa bulan kebelakangan ini mencetus banyak kluster pendidikan termasuk sekolah terpaksa ditutup.
Bulan lalu, KPM umum sekolah hanya akan ditutup selama dua hari jika terdapat kes jangkitan Covid-19. Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin berkata ia kaedah terbaharu yang sebelum ini hanya menutup kelas, bangunan, tingkat atau keseluruhan sekolah berdasarkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Jabatan Pendidikan Negeri, katanya, akan mengeluarkan surat arahan penutupan sekolah selama dua hari dan membuat laporan kepada KPM serta-merta dan PKD akan melaksanakan penilaian risiko serta pengesanan kontak rapat selain memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.
KPM juga bulan lalu memutuskan untuk menutup operasi persekolahan sekolah rendah serta sekolah menengah di seluruh negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 16 Mei ini.
Murid akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama 10 hari sebelum cuti penggal bermula 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).
Kumpulan A adalah sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.Manakala kumpulan B sekolah di Perlis, Perak, Pahang, Sabah, Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Putrajaya.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan pula, semua sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur ditutup ekoran pelaksanaan PKP 3.0.
Majoriti ibu bapa bimbang penutupan sekolah yang panjang akan menjejaskan pembelajaran anak mereka terutamanya bagi keluarga yang tidak berkemampuan untuk mencari alternatif lain seperti kelas tuisyen.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata kebanyakan ibu bapa berpendapatan rendah atau memperoleh gaji minimum, yang sudah pasti tidak mampu menghantar anak ke kelas tuisyen atau sekolah swasta.
“Kebanyakan ibu bapa berpendapatan rendah terpaksa memilih antara memberi anak makan dan pendidikan.
“Jauh sekali menukar anak ke sekolah swasta. Hanya yang benar-benar mampu sahaja akan memilih sekolah swasta,” katanya. – 8 Mei, 2021.