Semua bazar Ramadan, Aidilfitri kawasan PKP diarah tutup, kata Ismail Sabri
Iklan
SEMUA bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) akan ditutup mulai Isnin, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu turut berkata semua premis disenaraikan sebagai kawasan panas (hotspot) Covid-19 dalam sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide) juga telah diarahkan tutup selama tiga hari dengan serta-merta.
Langkah-langkah pencegahan seperti penilaian risiko akan diambil dalam tempoh tiga hari itu.
“Premis yang disenaraikan oleh sistem Hide dan dikenal pasti sebagai lokasi yang berisiko penularan Covid-19 akan diperintahkan tutup selama tiga hari dengan serta-merta,” katanya.
Menjelaskan sistem tersebut, beliau berkata Hide mengesan kawasan yang mempunyai rekod jangkitan, setelah itu kerajaan akan membuat penilaian risiko dengan Kementerian Kesihatan dan menutup sementara lokasi itu bagi membolehkan kawalan pergerakan dilaksanakan.
Berdasarkan senarai tempat dikenal pasti Hide dikeluarkan hari ini, lebih 150 tempat, termasuk pusat membeli-belah dan rantaian pasar raya, kebanyakannya di Lembah Klang, akan ditutup dengan serta-merta selama tiga hari.
Sementara bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, dan Presint 3, Putrajaya disenaraikan sebagai kawasan panas oleh sistem itu.
Semalam, Kementerian Wilayah Persekutuan mengenal pasti dan memantau beberapa bazar Ramadan dan pusat membeli-belah di ibu negara dikunjungi oleh ratusan individu positif Covid-19 dan kontak rapat.
Pada Rabu, Menteri Besar Selangor Amiruddin Shah memerintahkan penutupan bazar di negeri itu berkuat kuasa semalam.
Setakat tengah hari ini, Malaysia melaporkan kes baharu Covid-19 melebihi 4,000 buat dua hari berturut-turut, dengan 4,519 kes.
Dr Noor Hisham juga memberi amaran kes harian boleh mencecah 7,000 pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun, jika orang ramai masih degil mematuhi langkah-langkah mengekang penularan Covid-19. – 8 Mei, 2021.