Pusat beli-belah, pasar raya ditutup ikut arahan MKN
Iklan
PUSAT membeli-belah ditandakan sebagai merah di bawah Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide) telah ditutup seperti diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hide menunjukkan 150 premis telah dikenal pasti sebagai tempat hotspot Covid-19.
Persatuan peruncit dan membeli-belah mematuhi perintah tersebut walaupun setelah menuntut Putrajaya berhenti mengumumkan maklumat lanjut melalui Hide sehingga maklumat tersebut benar-benar disahkan sebagai jelas dan tepat.
Gesaan itu dibuat oleh tiga persatuan yang mewakili pusat beli-belah dan industri peruncitan di seluruh negara dalam kenyataan bersama hari ini iaitu Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).
“Kami percaya bahawa memandangkan terdapat maklumat tidak tepat dalam senarai ‘hotspot,’ cadangan penutupan untuk sanitasi adalah sesuatu yang pramatang dan akan mendatangkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap persepsi serta pemulihan dan kelangsungan perniagaan,” kata mereka dalam satu pernyataan malam tadi.
Antara kompleks popular dalam senarai Hide adalah Sunway Pyramid, Melawati Mall, NU Sentral, Pavilion dan The Curve.
Tinjauan The Malaysian Insight di beberapa pusat membeli-belah dan pasar raya di Lembah Klang mendapati banyak yang patuh.
Pusat membeli-belah Subang Parade juga ditutup seperti mana Sunway Pyramid yang terletak hanya tiga kilometer.
Walaupun pusat beli-belah ditutup, ramai pelanggan masih tidak sedar situasi yang menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
Di Sunway Pyramid, polis dan kakitangan hadir untuk memberi tahu pelanggan pusat membeli-belah ditutup setelah ia ditandakan sebagai hotspot.
Pasar raya yang ditandakan berkemungkinan mendapat jangkitan Covid-19 juga ditutup.
Jaya Grocer Bukit Jelutong juga ditutup dan ramai pelanggan yang tiba terpaksa membuat pusing-U apabila diberitahu oleh pekerja di situ.
Kakitangan MYDIN Seksyen 18 memberitahu The Malaysian Insight mereka memberikan risalah kepada pengguna yang datang untuk membeli-belah.
“Sejak pagi, banyak pelanggan hadir di sini dan bingung mengapa ditutup.
“Saya rasa orang tidak begitu sedar dengan keseluruhan teknologi Hide ini yang dilancarkan oleh kerajaan.
“Malah kami pekerja tidak begitu sedar keadaannya sehingga kami diberitahu oleh pengurus kami,” kata seorang pekerja yang ingin dikenali sebagai Siti.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan premis, termasuk bazar Ramadan dan Aidilfitri tersenarai dalam sistem Hide kerana lokasi berisiko tinggi dalam penyebaran Covid-19 akan diperintahkan tutup selama tiga hari berkuat kuasa dengan serta-merta.
Hide akan memberikan data penting kepada Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa lain untuk mengambil tindakan awal untuk mengelakkan kluster di hotspot-hotspot.
Semalam juga Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia boleh cecah hampir 7,000 kes harian Covid-19 pada akhir Mei atau awal Jun jika orang ramai degil mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata Malaysia pada mulanya dijangka mencatat kira-kira 3,000 kes pada pertengahan Mei dan 5,000 kes pada akhir bulan ini. – 9 Mei, 2021.