Tak perlu permit polis untuk janji temu perubatan, kata Ismail Sabri
Iklan
PESAKIT tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan polis jika ada janji temu perubatan, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu menjelaskan mereka yang pergi ke klinik atau hospital untuk janji temu perubatan hanya perlu mengemukakan kad janji temu sekiranya diminta pihak berkuasa.
Keputusan ini diumumkan di tengah-tengah sekatan perjalanan antara daerah di seluruh negara yang akan bermula esok agar kerajaan dapat berusaha mengurangkan kebangkitan semula kes Covid-19.
Sebelum ini Ismail berkata, kerajaan menerima keluhan dari masyarakat mengenai perlunya mendapatkan kelulusan polis untuk menghadiri janji temu di hospital atau klinik.
“Kerajaan telah menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perlunya mendapat surat kebenaran polis bagi urusan mendapatkan rawatan atau jani temu di hospital atau klinik.
“Ini telah menyukarkan mereka terutama pesakit yang memerlukan rawatan berjadual seperti kanser dan buah pinggang.
“Bagi pesakit yang mempunyai janji temu doktor atau rawatan berkala, cukup dengan menunjukkan kad janji temu,” katanya.
Semalam, Ismail mengumumkan larangan terhadap mereka yang ingin melakukan perjalanan antara negeri atau daerah sekiranya tidak mempunyai surat polis yang sah.
Setakat ini, PKP telah dikuatkuasakan di enam daerah di Selangor dan Kuala Lumpur, serta di beberapa bahagian di Johor, Terengganu, Perak, dan seluruh Kelantan.
Semalam, Kuantan dan beberapa daerah di Pulau Pinang serta dua mukim di Perak dikenakan PKP. – 9 Mei, 2021.