Institusi pendidikan swasta diarah henti pembelajaran bersemuka
Iklan
SEMUA institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula hari ini sehingga 6 Jun.
Ini termasuk sekolah antarabangsa, pusat pendidikan swasta seperti pusat tuisyen, pusat pembangunan dan bahasa serta tabika swasta di seluruh negara.
Bahagian Pendidikan Swasta Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata IPS tidak dibenarkan beroperasi secara bersemula dalam tempoh tersebut.
“Ini sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam,” menurut kenyataan itu.
Bagi pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa seperti International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), peperiksaan Diploma International Baccalaureate (IBDP) dan peperiksaan setaraf lain dibenarkan meneruskan peperiksaan.
“Ini akan dilakukan di sekolah masing-masing berdasarkan jadual peperiksaan yang ditetapkan oleh badan peperiksaan antarabangsa masing-masing.
“Kesemua IPS perlu mematuhi arahan ini dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KPM, MKN dan KKM bagi memastikan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19 berjalan lancar,” kata kementerian. – 10 Mei, 2021.